Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) melihat hasrat kerajaan untuk meningkatkan nisbah gaji kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar optimum 40 peratus adalah mencabar berikutan pertumbuhan produktiviti yang perlahan berbanding negara ASEAN lain.

Ketika ini, Malaysia mencatatkan nisbah gaji 33.6 peratus iaitu rendah berbanding negara di rantau ASEAN dan unjuran 40 peratus memerlukan kesediaan antara majikan serta pekerja bagi membolehkan perkembangan pantas dalam isu produktiviti.

Pengarah Eksekutifnya, Dr Zakariah Abdul Rashid berkata, kadar gaji juga memberi kesan kepada kos sara hidup kerana ia menjadi kebergantungan 85 peratus pendapatan isi rumah.

Beliau berkata, dengan peningkatan produktiviti yang pantas memberi kesan kepada rantaian gaji, pendapatan isi rumah dan kos sara hidup meningkat.

“Nisbah ketika ini adalah kurang baik bagi ekonomi serta perkara lain termasuk bukan saja majikan dan pekerja, tetapi untuk mencapai negara maju.

“Gaji minimum adalah satu instrumen bagi mempercepatkan produktiviti dan upah naik. Ini kerana jika produktiviti masih perlahan, penerimaan upah juga akan mengikut tahap yang sama,” katanya pada taklimat unjuran ekonomi Malaysia suku ketiga 2014 di sini, baru-baru ini.

Dalam taklimat itu, MIER mengunjurkan kadar penggangguran di Malaysia akan terus menurun pada kadar 2.9 peratus tahun ini, 2.8 peratus pada 2015 berbanding 3.5 peratus pada 2013 berikutan peningkatan peluang pekerjaan dalam pelbagai projek serta perkembangan tarikan pelaburan langsung asing serta domestik.

MIER juga menjangkakan KDNK negara berkembang sederhana di bawah enam peratus pada suku ketiga berikutan keadaan perniagaan yang lembap dan pertumbuhan import lebih tinggi berbanding eksport.

KDNK bagi suku pertama dan kedua masing-masing pada 6.2 peratus dan 6.4 peratus menjadikan KDNK separuh pertama pada 6.3 peratus dan berada di landasan yang betul bagi mencapai 5.7 peratus menjelang akhir 2014.

Zakariah berkata, Indeks Keadaan Perniagaan (BCI) bagi suku ketiga turun kepada 95.9 mata, susut 17.1 mata berbanding suku sebelumnya.

“Penurunan dalam BCI disebabkan jualan rendah, pengurangan pesanan baharu domestik dan eksport serta aktiviti pembuatan kurang cergas dan peningkatan stok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:07 AM