Kuala Lumpur: Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menjangkakan mata wang ringgit berlegar pada kadar RM3.50 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tahun ini didorong faktor pemulihan ekonomi AS yang menyumbang kepada pengukuhan nilai mata wangnya berbanding mata wang utama dunia lain.

Pengarah Eksekutifnya, Dr Zakariah Abdul Rashid berkata, kemerosotan mata wang ringgit bukan sahaja dialami Malaysia, malah beberapa negara lain seperti Yen Jepun, Dolar Singapura, dan matawang dari negara Kesatuan Eropah.

“Kami menjangkakan mata wang ringgit kembali stabil jika harga minyak mentah dunia stabil pada penghujung tahun ini meskipun ringgit mengalami keadaan tidak menentu sejak kebelakangan ini,” katanya pada sidang media Unjuran Ekonomi Suku Keempat 2014 di sini, semalam.

Sehingga jam 5 petang semalam, ringgit ditutup pada paras 3.6170/6200 berbanding dolar AS.

Dalam pada itu, Kadar Dasar Semalaman (OPR) 3.25 peratus yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka kekal sehingga pertengahan tahun ini.

Zakariah berkata, pihaknya tidak menolak jangkaan BNM untuk meningkatkan kadar OPR selepas separuh kedua tahun ini namun ia berkemungkinan ditunda sehingga tahun depan.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, BNM memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) di sini, semalam.

Bank pusat itu berkata, pada dasar semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan adalah wajar mengikut penilaian berdasarkan perkembangan keadaan monetari dan kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 8:59 AM