LAO (tiga dari kiri) bergambar selepas Pameran Hartanah Perdana Cyberjaya 2015.
LAO (tiga dari kiri) bergambar selepas Pameran Hartanah Perdana Cyberjaya 2015.

Cyberjaya: Setia Haruman Sdn Bhd, penganjur Pameran Hartanah Premier Cyberjaya (CPPS) 2015 menawarkan sehingga 2,400 unit kediaman sepanjang dua hari pameran itu diadakan.

Pengarah Eksekutifnya, Lao Chok Keang berkata, pameran yang akan diadakan pada 14 dan 15 Mac ini menawarkan 11 projek merangkumi kediaman dan komersial.

“Jumlah keseluruhan nilai pembangunan kasar (GDV) bagi semua projek yang ditawarkan mencecah RM9 bilion.

“Ia meliputi 11 projek berbeza yang dibangunkan enam pemaju terkemuka,” katanya selepas majlis pelancaran, baru-baru ini.

Menurutnya, harga minimum yang ditawarkan untuk pameran ini bermula dari RM350,000 dan ia berbeza dengan setiap pemaju dan jenis produk yang ditawarkan.

“Pada pameran kali ini, kami bukan hanya menawarkan unit kediaman bertingkat dan teres sebaliknya meliputi unit komersial.

“Kami yakin pembeli akan menemui unit hartanah yang sesuai dengan gaya hidup mereka pada pameran ini,” katanya.

Antara pemaju yang turut serta adalah Setia Haruman, Areca Holdings, Paramount Property, SP Setia, UEM Sunrise dan MCT Consortium.

Lao berkata, Cyberjaya dijangka terus menjadi lokasi pilihan pelabur memandangkan terdapat beberapa projek mega yang akan memberi manfaat kepada Cyberjaya secara tidak langsung.

“Projek MRT 2 yang turut membabitkan dua stesen di Cyberjaya dan projek Kuala Lumpur - Singapore High Speed Rail akan memberi manfaat kepada nilai hartanah Cyberjaya.

“Maka, ini adalah masa terbaik untuk mendapatkan hartanah di lokasi ini memandangkan projek berkenaan akan memberi kesan besar kepada sektor hartanah di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 5:15 AM