Pengunjung melihat model rumah pada pameran MyRumah di Balai Berita, NSTP, semalam.
Pengunjung melihat model rumah pada pameran MyRumah di Balai Berita, NSTP, semalam.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Pameran hartanah MyRumah anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) kini kembali dengan siri ketiga yang menyaksikan sembilan syarikat pemaju mengambil bahagian kali ini.

Daripada jumlah itu, empat syarikat hartanah baru menyertai acara ini mempamerkan projek pembinaan rumah masing-masing iaitu Gamuda Land, Sime Darby Property, SP Setia Berhad dan Worldwide Holdings Berhad.

Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Berhad, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, pihaknya mengambil keputusan menyertai MyRumah buat kali pertama kerana ia menawarkan potensi menarik pembeli baru kerana pameran itu memberi fokus kepada pembeli pertama.

“Syarikat bertuah dipilih menyertai MyRumah yang menampilkan barisan pemaju terkemuka dan saya lihat ia memberi liputan penjenamaan yang baik kepada syarikat kami,” katanya selepas pelancaran pameran itu di sini, semalam.

Ketika mengulas tawaran sempena acara itu, beliau berkata, syarikat menawarkan 73 unit rumah teres dua tingkat dikenali sebagai Cendana iaitu fasa ketiga projek kawasan perumahaannya iaitu Puncak Bestari terletak di Shah Alam.

Beliau berkata, orang ramai perlu merebut peluang memiliki rumah kerana ia ditawarkan pada harga RM590,00 dengan keluasan binaan bermula daripada 2,300 kaki persegi.

“Kami menyifatkan harga ini berpatutan kerana ia memiliki saiz besar dan paling menarik, unit kediaman ini adalah hartanah bertanah yang ditawarkan dengan pegangan individu,” katanya.

Sementara itu, PNB Development Sdn Bhd (PNBD) menyifatkan MyRumah sebagai platform terbaik mempamerkan projek hartanahnya dikenali Kota Seri Emas di Sepang dan selari dengan strategi pemasaran syarikat yang fokus menjual unit hartanah berharga antara RM200,000 hingga RM600,000.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Salem Kailany berkata, syarikat menawarkan dua projek perumahan untuk dimiliki orang ramai iaitu Laman Cempaka dan Laman Mawar Qaseh yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli.

Menurutnya, Laman Mawar Qaseh menawarkan unit rumah teres dua tingkat dengan keluasan binaan 1,620 kaki persegi pada harga bermula RM380,888 di mana hanya tinggal 40 unit sahaja untuk ditempah.

“Kami menawarkan unit rumah di Laman Cempaka Sari iaitu unit rumah bandar pada harga RM200,000 hingga RM400,000 dengan keluasan binaan 1,000 kaki persegi yang kini hanya tinggal 50 unit untuk dimiliki,” katanya.

Beliau berkata, PNBD mencatatkan jualan memberangsangkan apabila mula menyertai siri kedua MyRumah di Johor Bahru di mana 25 unit rumah dijual dan menyasarkan jualan melebihi 25 unit rumah kali ini.

“Saya gembira penganjuran MyRumah ini menjadi platform terbaik mempamer dan menjual rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 5:05 AM