JUNE Wei menerima tajaan daripada syarikat pemaju dan pelaburan hartanah terkenal BT Bina Group Sdn Bhd. FOTO Instagram cheamjunewei
JUNE Wei menerima tajaan daripada syarikat pemaju dan pelaburan hartanah terkenal BT Bina Group Sdn Bhd. FOTO Instagram cheamjunewei
Hamdan Saaid
sukan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Selepas keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pemain perseorangan lelaki Cheam June Wei terpaksa mencari sendiri penaja dalam usaha meneruskan hasratnya menjadi pemain yang disegani di dunia.

Pemain berusia 24 tahun itu bagaimanapun mendapat 'talian hayat' yang amat diperlukannya apabila menerima tajaan daripada syarikat pemaju dan pelaburan hartanah terkenal BT Bina Group Sdn Bhd baru-baru ini.

"Saya amat berbesar hati dan berterima kasih kerana menjadi sebahagian daripada BT Bina Group.

"Kelu lidah saya untuk berkata-kata apabila saya cuba merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas tajaan mereka yang bermurah hati untuk membantu saya dalam mengejar impian.

"Oleh itu, saya berazam untuk bekerja keras bagi mengekalkan keyakinan dan kepercayaan yang mereka tunjukkan kepada saya," tulisnya dalam hantaran terbaharu di laman Instagram.

June Wei, pemenang pingat emas acara beregu campuran pada Sukan Olimpik Belia 2014 di Nanjing, China, meninggalkan BAM selepas enam tahun apabila dia diminta pulang daripada kempen di Jelajah Eropah selepas gagal memenuhi indeks prestasi utama (KPI) pada Terbuka Czech dan Antarabangsa Belgium Oktober lalu.

Rata-rata warganet memberikan komen positif terhadap pemain yang kini menghuni ranking ke-73 dunia itu dan mengucapkan selamat berjaya kepadanya dalam usaha memenuhi impian peribadi.

June Wei dijadualkan beraksi pada Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol dari 12 hingga 19 Disember ini namun berdepan tugas getir apabila diundi bertemu pilihan ke-15, Kenta Nishimoto dari Jepun pada pusingan pertama.

Kedua-duanya pernah bertemu dua kali sepanjang karier dengan kedudukan terikat 1-1. Nishimoto menang dalam tiga set pada pertemuan sulung pada Masters Thailand 2020 sebelum June Wei membalas dendam juga dalam tiga set pada separuh akhir Kejohanan Berpasukan Asia 2020 di Manila.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 9:52 PM