FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Kerajaan menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) terus menumpukan kepada usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi daripada syarikat asing dan tempatan menerusi pelbagai strategi pelaburan dan inisiatif dasar di tengah-tengah penularan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Mida, Arham Abdul Rahman berkata, strategi agresif berterusan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi daripada pelabur asing dan tempatan menunjukkan hasil meyakinkan dengan Malaysia merekodkan pelaburan dilulus bernilai RM80.6 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama pada suku pertama 2021 (Januari-Mac), lonjakan 95.6 peratus daripada tempoh sama tahun lalu.

"Pelaburan dilulus ini membabitkan 993 projek dan dijangka menjana 32,557 peluang pekerjaan. Malaysia kekal sebagai lokasi pelaburan kompetitif bagi pelabur asing meskipun keadaan tidak menentu global ketika ini," katanya.

Beliau berkata, jumlah pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama meningkat 383.4 peratus kepada RM54.9 bilion bagi tempoh Januari-Mac 2021 daripada RM11.4 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

"Projek FDI utama kebanyakannya dalam sektor berorientasikan eksport dan teknologi tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E) dan peralatan perubatan serta sektor berintensifkan modal seperti produk logam asas dan produk kimia.

"Kebanyakan syarikat multinasional (MNC) dan asing di Malaysia terbabit sektor teknologi tinggi seperti mikroelektronik, mekatronik, bahan direkayasa, biobahan, komponen perubatan, komponen logam dan komposit aeroangkasa serta produk kimia," katanya.

Arham berkata, MNC memainkan peranan penting sebagai ejen transformasi negara bagi pembuatan dan industri perkhidmatan berkaitan pembuatan.

Menurutnya, kerajaan terus memberi sokongan kepada rantaian dan vendor bekalan tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka dan memenuhi keperluan MNC.

Dalam usaha menaik taraf ekosistem domestik industri yang menyokong projek asing utama di sini, beliau berkata, kerajaan memperkenalkan Dana dan Geran Automasi Pintar (SAG).

Ia membantu vendor tempatan dalam rantaian bekalan MNC untuk mengautomasi dan mendigitalkan proses pembuatan dan perniagaan mereka bagi mencapai kecekapan lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 7:00 AM