HAZARD (kiri) mahu  rakan sepasukan fokus buru kejuaraan liga.
HAZARD (kiri) mahu rakan sepasukan fokus buru kejuaraan liga.
AFP

London: Eden Hazard percaya kejayaan Chelsea menjuarai Piala Liga boleh menjadi pemangkin dalam usaha kelab itu memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Pendahulu liga itu berkunjung ke kelab jiran London, West Ham awal pagi esok, tiga hari selepas menundukkan Tottenham di Wembley bagi memenangi trofi pertama dalam pembabitan kedua pengurus Jose Mourinho di Stamford Bridge.

Kemenangan Chelsea lebih menggembirakan selepas pasukan tangga kedua Manchester City tewas kepada Liverpool pada hari sama.

Keputusan itu bermakna anak buah Mourinho menuju ke Upton Park dengan kelebihan lima mata selain beraksi kurang satu perlawanan.

Pemain tengah Belgium, Hazard mendakwa Chelsea akan meneruskan usaha merangkul kejuaraan liga buat kali pertama sejak 2010 dengan keyakinan tinggi selepas menjulang satu trofi.

“Selepas memenangi trofi ini, kami boleh menumpukan 100 peratus kepada liga. Sering kali penting menang trofi apabila bermain buat Chelsea,” jelas Hazard.

“Sebelum perlawanan itu, kami tidak berasa tertekan atau memikirkan mengenai perlawanan Liverpool-City. Sudah tentu apabila anda lihat keputusan dan Liverpool menang, ia menguatkan lagi keyakinan kami.

“Musim ini masih panjang. Ia belum berakhir. City mempunyai pemain amat bagus, mereka beraksi dengan cemerlang dan ia satu peperangan hingga penamat.

“Penting buat kami terus bertindak baik kerana kami masih mempunyai banyak perlawanan untuk diharungi.”

Pertemuan dengan West Ham aksi terakhir Chelsea sebelum mengalihkan tumpuan kepada perlawanan kedua pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Paris Saint Germain di gelanggang sendiri, minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 9:10 AM