MAURIZIO SARRI
MAURIZIO SARRI
AFP

LONDON: Diperkuat pemain terbaik Liga Perdana Inggeris, Eden Hazard dan permulaan tanpa kalah di bawah pengendali baharu Maurizio Sarri, Chelsea tampil sebagai pesaing kejuaraan tidak dijangka menjelang pertemuan dengan pendahulu liga Liverpool esok.

Ketika musim panas yang kecoh di Stamford Bridge, Sarri diumumkan sebagai pengganti Antonio Conte hanya sebulan sebelum musim baharu bermula, penjaga gol terbaik FIFA Thibaut Courtois menghilangkan diri untuk memaksa perpindahannya ke Real Madrid dan Hazard turut menyatakan minatnya menyertai kelab gergasi Sepanyol itu.

Namun, daripada terus tercicir selepas menamatkan saingan di tangga keenam musim lalu, 30 mata di belakang juara Manchester City, Chelsea memintas Manchester United, Tottenham dan Arsenal untuk bersama-sama City memburu pendahulu liga Liverpool yang hanya dibezakan dua mata.

Permulaan mudah menentang Huddersfield, Arsenal, Newcastle, Bournemouth, Cardiff dan West Ham dalam enam perlawanan pertama liga musim ini membantu Sarri menyesuaikan diri di Stamford Bridge.

Bagaimanapun ujian sebenar impian kejuaraan Chelsea musim ini bergantung kepada keputusan daripada kunjungan Liverpool esok yang cuba melebarkan rekod permulaan 100 peratus Liga Perdana.

Sarri berulang kali menegaskan yang skuad kendaliannya masih belum layak dibandingkan dengan City atau Liverpool yang berada pada musim ketiga di bawah kendalian Guardiola dan Jurgen Klopp.

“Kami mula kerja bersama 40 hari lalu. Jadi bagi kami ia masih terlalu awal,” kata Sarri. “Kami perlu bekerja keras, membaiki kelemahan dan mungkin dalam satu tahun, kami akan berada di tahap sama dengan Liverpool.”

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 11:27 AM