Oleh Norhadiani Baharom


Sejak beberapa minggu lalu satu demi satu kontroversi membabitkan pelakon dan pelawak popular Zizan Razak muncul.

Selepas hubungan cintanya dengan pelakon Emma Maembong putus, Zizan didakwa menjalin hubungan dengan pegawai atasan sebuah stesen televisyen.

Kemudian, di majlis Anugerah MeleTop Era 2015 baru -baru ini, Zizan yang juga pengacara dikatakan ‘menghilangkan diri’ sebaik tamat program berkenaan kerana kecewa tidak menang sebarang kategori walaupun menerima lapan pencalonan.

Beberapa hari selepas itu, Zizan yang memegang watak utama filem Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh bersama Emma tidak hadir ke majlis pratonton filem berkenaan hingga mengecewakan pengarahnya, Mamat Khalid.

Sejak itu, Zizan diburu wartawan namun dia gagal dihubungi. Semua panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan WhatsApp tidak berbalas.

Malam kelmarin, Zizan akhirnya muncul di majlis pratonton filem Cicakman 3 di Kuala Lumpur sekali gus menjawab segala persoalan itu.

Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan pegawai atasan stesen televisyen itu, Zizan menafikan mereka menjalin hubungan cinta.

Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abd Razak menegaskan hubungan dia dengan wanita berusia 30-an itulah hanyalah atas dasar profesionalisme.

“Saya menghormati dia tidak lebih sebagai seorang kakak dan ‘boss’. Saya tak tahu bagaimana gosip dan fitnah ini boleh timbul.

“Dengan pelbagai gosip dan tuduhan tidak benar, saya mohon sedikit masa untuk bernafas,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas majlis pratonton itu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan wanita terbabit turut menafikan perkara itu dan menyifatkan ia fitnah yang mengejutkan dan tidak berasas.

Spekulasi yang mengaitkan Zizan dengan wanita terbabit mula diperkatakan sejak dua minggu lalu selepas tersebarnya gambar mereka berdua di media sosial.

Keadaan makin kecoh apabila ada pihak mendakwa kononnya hubungan itu melangkaui profesionalisme dan konflik untuk kepentingan peribadi Zizan.

Nafi kecewa tak menang di AME 2015

Zizan juga menafikan tindakannya terus pulang ke rumah dan tidak bertemu dengan media sebaik tamat acara Anugerah MeleTop Era (AME) 2015 di Stadium Putra Bukit Jalil pada 22 Februari lalu kerana kecewa tidak menang sebarang kategori walaupun menerima lapan pencalonan.

Zizan yang juga pengacara AME pada malam itu berkata, dia terus pulang dan tidak menyertai sesi sidang media kerana tidak dimaklumkan ada wartawan yang mahu menemubualnya.

“Dalam mana-mana majlis anugerah, pemenang adalah fokus pihak media.

“Pada malam itu, saya bukanlah pemenang. Jadi, sebaik tamat acara saya terus pulang. Lagipun saya tidak dimaklumkan ada sesi temubual bersama media dengan saya,”katanya.

Dalam pada itu, Zizan juga enggan menjawab status hubungannya dengan Emma walaupun wanita itu sudah mendedahkan hubungan cintanya dengan Zizan sudah putus.

Minta maaf dengan Mamat Khalid

Zizan yang tidak muncul di majlis pratonton filem Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh, baru-baru ini juga sudah meminta maaf dengan pengarah filem berkenaan, Mamat Khalid.

Zizan berkata, dia sudah membuat penjelasan dengan Mamat dan perkara itu sudah selesai.

Zizan dan Emma yang memegang watak utama dalam filem berkenaan tidak hadir ke majlis pratonton filem berkenaan minggu lalu membuatkan Mamat kecewa.

“Malam ini (kelmarin) saya hadir di majlis pratonton (filem Cicakman 3) kerana saya ada kelapangan berbuat demikian selain tanggungjawab saya untuk mempromosikan filem ini.

“Saya juga nafikan terpaksa hadir ke majlis pratonton malam ini (kelmarin) kerana ia membabitkan produksi Astro Shaw,” katanya.

Bagaimanapun, Zizan enggan mengulas ketika ditanya sebab dia tidak hadir ke majlis pratonton filem Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh disebabkan masalah membabitkan hubungannya dengan Emma.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 11:34 AM