FILEM ke-38 arahan Razak.
FILEM ke-38 arahan Razak.
BERSAMA pelajar FiTA, UiTM Shah Alam.
BERSAMA pelajar FiTA, UiTM Shah Alam.
Oleh Wahi Aziz


Tiada istilah kekok atau segan bagi pengarah dan pensyarah perfileman, Azhari Zain apabila diberi kepercayaan menggalas watak utama filem komedi.

Azhari yang mesra membahasakan diri Zack sebaliknya mengakui teruja menjayakan filem Muluk dan Konco: Hero Malaya arahan Datuk Profesor A Razak Mohaideen yang baru menamatkan penggambaran kelmarin.

Akuinya, biarpun pembabitannya dalam dunia perfileman tempatan bukan asing, tanggung­jawab yang digalas kali ini satu pengalaman baru.

“Ramai tahu saya aktif mengarah filem MIG dan menggalas tugas sebagai penolong pengarah filem Razak.

“Kalau pun berlakon, sekadar watak sampingan. Namun menerusi Muluk, saya menjayakan watak utama.

“Ia bukan tugas mudah dan berharap ada mesej positif dapat disampaikan menerusi watak serta lakonan saya,” katanya.

Azhari yang juga Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Filem, Teater Dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi MARA Shah Alam berkata, dia bersedia berdepan dengan pelbagai kemungkinan yang timbul kemudian hari andai ada pihak membangkitkan statusnya sebagai pensyarah.

“Bagi saya tak perlu timbul konflik atau percanggahan kerana profesion pensyarah dan timbalan dekan juga berkait dengan perfileman.

“Malah selama ini pun ramai sedia maklum pembabitan saya di belakang tabir. Cuma kali ini saya tampil sebagai pelakon utama, itu saja.

“Selagi tidak menjejaskan komitmen sebagai pensyarah, apa salahnya,” katanya.

Sambung Azhari, dia menerima tawaran menjayakan filem itu atas permintaan Razak yang mahu mengembangkan watak muluk dalam filem Chowrasta.

“Dalam filem Chowrasta saya pegang watak Muluk. Tak sangka pula Datuk Razak mahu angkat Muluk sebagai watak utama. Saya sahut cabaran ini dan cuba buat sebaik mungkin.

“Namun, ia tidak bermakna saya akan terus aktif berlakon selepas ini. Tengok pada kelapangan dan kesesuaian watak,” katanya.

Filem ke-38 arahan Razak itu turut dibintangi Saiful Apek, Yassin, Jalil Hamid dan pendatang baru, Sarah Hildebrand.

Filem yang menjalani penggambaran selama 15 hari dan membabitkan 63 kru pelajar dan 12 pesyarah fakulti FiTA itu mengisahkan kehidupan Muluk, seorang pengawal keselamatan yang memiliki ijazah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 10:58 AM