LAGU-LAGU Scorpions antara yang paling Liza gemari.
LAGU-LAGU Scorpions antara yang paling Liza gemari.

Assalamualaikum buat pembaca yang disayangi.

Hujung minggu lalu Liza hanya berehat saja di rumah tanpa mempunyai sebarang aktiviti.

Bagus untuk ada waktu terluang sendiri kerana pada masa itulah Liza boleh merangka pelan untuk hari-hari sibuk seterusnya.

Awal Disember nanti Liza akan mula bercuti panjang, jadi masa yang ada ini Liza gunakan sebaiknya untuk mempersiapkan diri bagi beberapa acara penting dalam beberapa minggu akan datang.

Hujung minggu ini, Liza berpeluang bersama dengan pendengar untuk satu cabaran di sebuah Taman Tema Air di ibu kota.

Ya, Liza sukakan aktiviti luar bersama pende­ngar setia Hot FM yang juga Liza panggil kawan. Hanya ini caranya­ untuk Liza merasa lebih dekat ketika berinteraksi de­ngan mereka.

Kejujuran mereka ­da­lam memberi mak­lum balas atas apa yang Liza lakukan amat Liza hargai. Sementara itu, pada minggu depan Liza berada di Melaka untuk mengacarakan persembahan Saleem di Hard Rock Cafe.

Bulan Jun lalu, Liza menjadi pengacara untuk persembahan Ella di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur dan ia sesuatu yang sangat istimewa buat Liza sebagai pendatang baru.

Apabila sekali lagi diberi kepercayaan melakukannya bersama Saleem, macam-macam yang Liza rasa.

Secara peribadinya, Ella adalah antara penya­nyi paling Liza minati dan Liza juga membesar dengan lagu Saleem dan Iklim.

Walaupun ketika era ­ke­­­­ge­milangan muzik rock, Liza baru berusia dua hing­ga empat ta­hun, tetapi Liza ta­hu lagu mereka terutamanya daripada band seperti Search, Wings, Lefthanded, Bloodshed, Iklim dan banyak lagi.

Ini kerana lagu mereka 'evergreen'. Selepas lebih 20 tahun, ia masih tidak jemu didengar.

Namun, satu-satunya kaset band rock yang ada di rumah waktu itu ialah Scorpions.

Walaupun Liza bukan sezaman dengan mereka, ­tetapi lagu Scorpions seperti Still Loving You, Wind Of Change dan Rock You Like A Hurrricane antara yang masih terngiang-ngiang di telinga Liza hinggalah ke hari ini.

Lagu bergenre rock ini 'universal' di mana semua peringkat umur meng­gemarinya.

Bukti­nya,­ berapa ramai antara kita yang menyanyi­kan lagu genre rock ini apabila bersantai bersama keluarga dan sanak-­saudara di pusat kara­oke.

Untuk mengulang kembali kenangan dan ingatan peng­gemar lagu genre rock ini, adalah satu penghormatan untuk Liza turut terbabit dalam persembahan 'otai' dalam muzik rock.

Buat anda yang menyokong perjalanan karier Liza yang baru saja setahun jagung, mungkin ini waktu yang terbaik Liza bertemu dengan anda semua di Melaka.

Liza akan ceritakan suasana sekitar persembahan itu berlangsung buat anda yang tak berkesempatan pergi.

Oh ya, kesempatan ke Melaka juga bukan semata-mata untuk menghadiri persembahan Saleem, tetapi Liza ingin mengambil kesempatan untuk bersiar-siar dan melawat tempat yang menarik di Melaka.

Nantikan tulisan Liza minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:00 AM