Kuala Lumpur: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berharap sekiranya sistem rumah pintar menjadi satu keperluan dalam sektor kediaman tempatan pada masa depan, perlunya untuk memberi perlindungan serta jaminan kepada pembeli oleh pemaju serta tidak mendapat tekanan kos di luar kemampuan pengguna.

Perkembangan penggunaan teknologi itu dilihat mempunyai banyak manfaat kepada pembeli tetapi dari segi sistem keselamatannya perlu dipastikan tidak mudah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, walaupun teknologi itu ketika ini dilihat sebagai produk untuk pembeli mewah tetapi ia boleh menjadi satu keperluan pada masa depan.

Beliau berkata, kos pembelian atau membaik pulih sistem berkenaan menjadi isu penting kepada pembeli perumahan sekiranya ia salah satu pakej yang ada dalam pembelian kediaman.

“Pada masa depan sekiranya teknologi ini diguna pakai bagi setiap rumah, pembeli perlu melihat tempoh jaminan sistem berkenaan daripada pemaju dan memastikan kos membaik pulihnya tidak memberi bebanan kewangan kepada mereka.

“Kita juga menyarankan supaya pemaju menyediakan sistem rumah pintar yang baik dari segi kualiti dan kos munasabah kepada pembeli,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Mohd Yusof berkata, ketika ini terdapat pelbagai laporan mengenai kecacatan rumah yang diterima pihaknya daripada pembeli berikutan bahan binaan tidak berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:12 AM