Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggalakkan orang ramai yang berkemampuan untuk membeli kediaman sebelum pelaksanaan GST pada April ini kerana situasi pasaran selepas pelaksanaannya tidak dapat dijangkakan.

Tawaran pakej menarik daripada pemaju perumahan ketika ini seharusnya direbut orang ramai bagi membolehkan mereka mendapat manfaat dalam memiliki aset berkenaan.

Timbalan Presiden FOMCA Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, walaupun kediaman tidak dikenakan GST, tetapi bahan binaan yang digunakan oleh pemaju berkemungkinan terdapat cukai berkenaan dan pihak pemaju tidak boleh menuntut semula cukai input berkenaan daripada kerajaan.

Beliau berkata, sebelum ini, sememangnya terdapat pihak pemaju hartanah menjangkakan jualan harga rumah akan meningkat beberapa peratus selepas GST dilaksanakan.

“Ini adalah masa terbaik kepada pengguna untuk membeli rumah sekiranya mereka mempunyai biaya mencukupi untuk memilikinya dan perlu membuat persediaan awal bagi mengelakkan berdepan dengan risiko seperti penipuan dan sebagainya.

“Bagaimanapun, pengguna jangan bersikap terburu-buru untuk membeli kediaman walaupun ini adalah masa paling baik bagi memiliki rumah sebelum ia meningkat pada masa depan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Katanya, ketika ini pelbagai pihak hanya boleh membuat andaian atau unjuran mengenai kenaikan harga jualan kediaman selepas GST tetapi apa yang lebih membimbangkan keadaan sebenar yang perlu ditanggung oleh pengguna.

Yusof berkata, persediaan kewangan sebelum dan selepas pembelian rumah penting bagi pengguna berdepan situasi cukai baru berkenaan.

“Kita juga jangan terlalu agresif untuk menyediakan wang memiliki rumah semasa tawaran jualan dibuat, tetapi kita tidak bersedia untuk berdepan dengan situasi pada masa depan.

“Pengguna perlu bijak mengatur perbelanjaan dan mengkaji setiap tindakan dalam proses pembelian kediaman dilakukan,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:06 AM