Kuala Lumpur: Ketika ini, terdapat banyak pemaju perumahan menawarkan pelbagai jenis kediaman daripada yang berkos rendah sehingga tinggi mencecah jutaan ringgit.

Ini dilihat semakin menjadi perkara biasa di pasaran perumahan tempatan walaupun terdapat isu kemampuan rakyat untuk membelinya.

Lantaran itu, terdapat pembeli yang meneliti nama syarikat sebagai antara faktor membeli kediaman berkenaan memandangkan ia mempunyai latar belakang kewangan kukuh dan namanya cukup popular serta menerima pelbagai anugerah tempatan serta antarabangsa.

Adakah faktor populariti syarikat ini menjamin kualiti kediaman selepas dibeli dan apakah perkara yang perlu diambil kira golongan pembeli bagi memastikan kediaman mereka tidak bermasalah dalam tempoh liabiliti?

Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah (HBA) melihat nama syarikat sebenarnya tidak menjamin kualiti rumah yang dibina, malah terdapat juga rumah dibina syarikat pemaju terkenal bermasalah.

Setiausaha Agungnya, Chang Kim Loong berkata, isu kecacatan rumah selepas pembelian biasa berlaku tanpa mengira ia dibangunkan oleh pemaju popular atau tidak kerana ada kalangan mereka yang mewujudkan syarikat subsidari untuk membangunkan projek kediaman.

Beliau berkata, sekiranya berlaku rekod yang buruk seperti masalah kualiti atau rumah tidak dapat disiapkan, syarikat subsidari pemaju itu akan ditutup dan ini menyelamatkan syarikat induknya daripada mempunyai rekod buruk menyediakan produk kepada pembeli.

“Biasanya kecacatan berlaku membabitkan kebocoran dan retak. Ini berkemungkinan kontraktor yang dilantik oleh pemaju tidak menggunakan bahan berkualiti bagi menjimatkan kos binaan.

“Walau bagaimanapun, kita perlu tahu kenaikan harga rumah biasanya dikaitkan dengan kos bahan binaan dan sekiranya orang ramai sudah membuat bayaran untuk membeli rumah, ini bermakna mereka berhak untuk mendapatkan rumah berkualiti dan bukan bermasalah,” katanya.

Ketika ditanya mengenai tempoh liabiliti 24 bulan ketika ini mencukupi atau tidak untuk menjamin pembeli berdepan dengan isu kualiti rumah, katanya, HBA sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk ditingkatkan kepada 36 bulan sejak tiga tahun lalu.

“Kami berharap pihak KPKT dapat meneliti keadaaan semasa yang boleh memberi jaminan kualiti kediaman terbaik kepada orang ramai selepas membeli rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:06 AM