Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Metro Ahad minggu lalu ada memaparkan isu kualiti perumahan berlaku ke atas seorang pembeli yang mendakwa masih belum menerima bayaran ganti rugi RM19,432.67 walaupun Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) sudah memutuskan syarikat perumahan berkenaan berbuat demikian akibat kecacatan rumah yang dibeli.

Mungkin ini adalah segelintir kes yang mendapat perhatian media iaitu menyentuh isu ‘rumah siap tapi hati sakit’ berikutan berlaku pelbagai masalah terutama membabitkan kualiti bahan binaan selepas pembeli menerima kunci rumah untuk didiami.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) pula memaklumkan, tahun lalu saja pihaknya menerima 1,975 aduan perumahan yang mana 27.9 peratus membabitkan isu kualiti rumah. Pada 2012, sejumlah 1,734 aduan perumahan direkodkan dengan 22.9 peratus membabitkan kes sama.

Menerusi angka aduan dan pecahan kes yang diterima menunjukkan terdapat peningkatan lima peratus isu membabitkan kualiti rumah. Itu angka yang memberi aduan kepada FOMCA, bagaimana pula dengan pembeli baru yang tidak membuat sebarang aduan? Di manakah hak mereka?

Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abd Rahman berkata, tuntutan mengenai kes kualiti perumahan itu membabitkan rumah baru yang dibina oleh pemaju.

Beliau berkata, dalam Akta Pemajuan Perumahan 2002 sendiri memperuntukkan pemaju perumahan perlu bertanggungjawab terhadap kualiti kediaman baru atau dikenali sebagai tempoh liabiliti dalam jangka masa 24 bulan selepas pembeli menerima kunci kediaman.

“Jika dilihat kepada rekod aduan yang diterima persatuan menunjukkan ada peningkatan. Walaupun ia hanya lima peratus antara 2012 dan 2013, tetapi ia membabitkan hak pengguna yang perlu dilindungi. Apatah lagi ia membabitkan isu kediaman yang mempunyai nilai perbelanjaan yang tinggi kepada pembeli.

“Mengikut prosedur FOMCA, kami akan memberi surat kepada pemaju mengenai aduan yang diterima dan meminta mereka untuk memberi maklum balas dalam tempoh 14 hari yang mana ia membabitkan tindakan pemaju untuk membaiki kediaman pembeli.

“Sekiranya dalam tempoh 14 hari masih tiada jawapan daripada pihak pemaju, kami akan mengeluarkan satu surat peringatan dalam tempoh tujuh hari untuk mereka mengambil tindakan kepada aduan mereka. Jika tiada maklum balas, prosedur seterusnya diserahkan kepada Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR),” katanya.

Mohd Yusof berkata, ketika ini, terdapat juga pemaju perumahan yang tidak memberi maklum balas untuk mengambil tindakan kepada FOMCA yang mewakili pengguna.

“Lebih memburukkan keadaan, apabila terdapat pengguna yang tidak mengetahui hak mereka sekiranya berlaku kecacatan kediaman dalam tempoh liabiliti dan mengeluarkan wang daripada poket sendiri untuk membaik pulih kerosakan rumah seterusnya membebankan diri sendiri dari segi kewangan.

“Kita perlu menjadi pembeli dan pengguna yang bijak terutama membabitkan hak yang boleh dilindungi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:06 AM