Oleh Hafiz Ithnin

IM Global Property Consultant Sdn Bhd melihat pembangunan sistem rumah pintar di Malaysia akan terus berkembang dan kerajaan perlu menyediakan insentif kepada pemaju perumahan bagi membantu mengurangkan kos jualan harga rumah kepada pembeli.

Ini kerana harga pemasangan sistem rumah pintar akan dimasukkan ke dalam pakej pembelian rumah dan ia lebih tertumpu kepada kediaman dalam segmen mewah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ishak Ismail berkata, pemasangan sistem rumah pintar sememangnya memberi manfaat kepada pembeli dalam mengurangkan kos operasi kediaman selepas proses pembelian dan membantu mencegah kemalangan.

Beliau berkata, perkembangan teknologi itu di Malaysia juga menunjukkan sektor hartanah di Malaysia semakin berkembang dari segi penggunaan teknologi.

“Jika kita lihat situasi sebelum ini, orang ramai mengutamakan sistem internet yang diperlukan dalam kediaman kerana ia menjadi keperluan untuk berkomunikasi.

“Begitu juga dengan sistem rumah pintar ini akan lebih mendapat perhatian pada masa depan kerana ia mempunyai ciri keselamatan dan memudahkan orang ramai untuk membuat pemantauan kediaman sekiranya mereka berada di luar kawasan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Katanya, insentif yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan bagi menggalakkan penggunaan sistem rumah pintar ini antaranya pelepasan cukai kepada pemain industri dalam perkara tertentu.

Ishak berkata, sektor perumahan yang mempunyai teknologi yang maju turut mendorong kepada perkembangan Malaysia ke arah negara maju pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:12 AM