Kuala Lumpur: Keuntungan sebelum cukai suku ketiga berakhir 30 September 2014 Bursa Malaysia meningkat 14 peratus kepada RM73.62 juta berbanding RM64.46 juta pada tempoh yang sama pada 2013 manakala hasil meningkat kepada RM128.96 juta daripada RM120.28 juta sebelumnya,

Bagi segmen sekuriti pula, pengendali bursa itu mencatatkan keuntungan RM78.8 juta pada suku ketiga 2014, pertambahan 15 peratus berbanding RM68.7 juta pada suku ketiga 2013.

Keuntungan yang tinggi pada suku ketiga 2014 itu susulan nilai perdagangan tinggi dalam pasaran sekuriti berbanding suku ketiga 2013. Pasaran derivatif mencatatkan keuntungan RM10.3 juta pada suku ketiga 2014, peningkatan satu peratus berbanding RM10.2 juta pada suku ketiga tahun lalu.

Bagi sembilan bulan berakhir 30 September, keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM202.346 juta daripada RM197.280 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Tajuddin Atan berkata, walaupun pasaran global merosot, Bursa Malaysia tetap menerima penyertaan domestik, terutama dalam segmen runcit yang memberi sumbangan kepada hasil dagangan tinggi.

“Bursa ini juga akan memperkenalkan Indeks Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 5:02 AM