BANGUNAN Takaful Malaysia Bhd.
BANGUNAN Takaful Malaysia Bhd.

KEUNTUNGAN bersih Syarikat Takaful Malaysia Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 melonjak 20 peratus kepada RM87.27 juta daripada RM72.60 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu. Ia disumbangkan oleh pendapatan fi wakalah bersih yang lebih tinggi.

Takaful Malaysia berkata, ia mencatatkan peningkatan hasil memberangsangkan RM924.42 juta, iaitu naik 35 peratus, berbanding RM684.32 juta pada suku ketiga 2021.

"Peningkatan hasil disebabkan jualan lebih tinggi daripada perniagaan takaful keluarga dan takaful am," katanya.

Bagi suku dalam tinjauan, Takaful Malaysia berkata perniagaan takaful keluarganya mencatatkan caruman kasar RM594.56 juta, peningkatan 43 peratus, berbanding RM414.72 juta pada suku ketiga 2021, terutamanya disebabkan oleh jualan lebih tinggi produk berkaitan kredit.

Pengendali takaful itu berkata, pendapatan pelaburan untuk perniagaan takaful keluarga bagi suku semasa meningkat kepada RM81 juta, meningkat 11 peratus berbanding RM73.12 juta pada suku yang sama tahun lepas, berikutan pendapatan keuntungan yang lebih tinggi daripada pelaburan pendapatan tetap.

Takaful Malaysia juga berkata, perniagaan takaful am suku ketiga 2022 menjana caruman pendapatan kasar RM257.53 juta, 11 peratus lebih tinggi berbanding suku kedua 2022 iaitu RM232.62 juta, terutamanya menyumbang kepada jualan lebih tinggi daripada kelas motor dan kejuruteraan.

Katanya, pendapatan pelaburan RM9.19 juta bagi suku semasa 13 peratus lebih tinggi daripada RM8.15 juta yang dicatatkan pada suku kedua 2022, disumbangkan oleh pendapatan keuntungan yang lebih tinggi daripada pelaburan dalam sekuriti hutang Islam.

Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Nor Azman Zainal berkata, keputusan suku ketiganya menunjukkan pertumbuhan hasil yang kukuh dan prestasi perniagaan merentas pemacu pertumbuhan utama.

"Kami fokus mewujudkan keseimbangan setara antara margin taja jamin dan pertumbuhan perniagaan untuk meningkatkan bahagian pasaran kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 7:01 AM