Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Kuala Selangor: Empat belas peniaga runcit dan borong di Bestari Jaya dan Ijok dikenakan kompaun membabitkan jumlah RM2,050 dalam Ops Catut yang dijalankan Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Selangor di sini, pagi tadi.

Ketua Pegawai Penguakuasanya, K Ramesh berkata, kesalahan yang dilakukan peniaga itu ialah gagal meletakkan tanda harga merah jambu pada barangan yang dikawal harga pada musim perayaan, gagal meletakkan tanda harga pada barang keperluan serta harga melebihi maksimum.

Menurutnya, dalam operasi mulai 9 pagi hingga 2 petang itu, 50 premis diperiksa dan pihaknya mengambil tindakan terhadap 14 peniaga membabitkan 11 kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 serta tiga kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

"Dalam operasi yang diketuai 12 pegawai ini, 14 peniaga berkenaan dikompaun antara RM100 ke RM300 setiap seorang selepas didapati melakukan kesalahan berkenaan," katanya.

Menurutnya, operasi terbabit bertujuan memastikan barang keperluan mencukupi serta peniaga mematuhi skim kawalan harga musim perayaan Tahun Baru Cina 2015 yang berkuatkuasa dari 14 hingga 25 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 4:22 PM