PEGAWAI  penguat kuasa     memeriksa premis yang mempamerkan tanda harga barangan di Pasar Borong Selangor,  Seri Kembangan.
PEGAWAI penguat kuasa memeriksa premis yang mempamerkan tanda harga barangan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan.
Nadzreen Shah Mat Salim

Seri Kembangan: Ada kemungkinan peniaga pasar menggunakan khidmat tonto berikutan mereka dikesan hanya meletakkan tanda harga barangan dijual sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Ini terbukti apabila ada antara peniaga menerima panggilan telefon ‘amaran’ sejurus anggota Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) Selangor muncul di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, di sini, semalam.

Seramai 10 peniaga dikesan gagal meletakkan tanda harga bagi barangan dijual kepada pelanggan biarpun menyedari ia kesalahan serius.

Peniaga terbabit dikesan menggunakan taktik tanda harga ‘sekejap ada sekejap tiada’ apabila hanya meletakkan tanda harga ketika pemeriksaan dilakukan.

Operasi bermula jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari itu membabitkan 45 pegawai dan anggota bahagian penguat kuasa dan anggota penguat kuasa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor.

Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Lim berkata, dia menerima panggilan telefon daripada majikan mengarahkannya meletakkan tanda harga pada setiap jenis barang dijual.

“Boss telefon bagi tahu letak tanda harga. Saya buat apa dia cakap, saya tak tahu apa-apa.

“Selalunya saya tak letak tanda harga. Saya bagi tahu harga guna mulut,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Sementara itu Penolong Pengarah Kanan KPDNKK Selangor, Yusof Bakar berkata, 10 premis dikesan melakukan kesalahan dan disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972.

Beliau berkata, enam peniaga turut dikenakan tindakan kerana menggunakan peralatan timbang dan sukat tidak disahkan bahagian penguatkuasa.

“Semua mereka dikenakan kompaun antara RM200 hingga RM300.

“Sekiranya gagal membayar denda, tindakan mahkamah akan diambil terhadap peniaga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2016 @ 7:36 AM