MOTOSIKAL yang ditunggang mangsa. Gambar kecil, Muhammad Amir Akid Hanafi. FOTO ihsan pembaca
MOTOSIKAL yang ditunggang mangsa. Gambar kecil, Muhammad Amir Akid Hanafi. FOTO ihsan pembaca
Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum dirempuh kereta di Jalan Masjid Lundang Paku, di sini, 6.50 pagi tadi.

Muhammad Amir Akid Hanafi dari Keladang Beta, di sini, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Lundang Paku.

Kejadian berlaku ketika kereta dipandu guru lelaki berusia 49 tahun melalui jalan berkenaan untuk menghala ke Kadok.

Ketika tiba berhampiran Masjid Lundang Paku, guru berkenaan melihat motosikal ditunggang Muhammad Amir Akid melanggar bahagian belakang motosikal jenis Honda C70 ditunggang seorang lelaki yang keluar dari masjid.

Akibat pelanggaran itu, Muhammad Amir Akid hilang kawalan dan terbabas ke tengah jalan sebelum dirempuh kereta dipandu guru berkenaan.

Guru itu yang bimbang dicederakan penduduk kampung kemudian ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk membuat laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 2:07 PM