ADAM
ADAM

Kuala Lumpur: Pelumba muda Adam Norrodin membuka lembaran baru dalam kariernya apabila mewakili pasukan Asia Talent Cup (ATC) bersaing dalam Kejuaraan Dunia Moto3 Remaja CEV FIM Repsol musim ini.

Adam, 17, bersama dua pelumba Jepun, Kaito Toba dan Yuta Date akan dibimbing bekas pemenang Grand Prix 500cc dari Sepanyol, Alberto Puig selaku pengarah piala kejuaraan itu.

Pelumba berasal dari Batu Pahat itu yang kini berada di Sepanyol menjalani ujian sejak dua hari lalu berkata, memang impiannya untuk beraksi dalam ATC.

“Saya mahu menjadi pelumba Malaysia pertama memenangi perlumbaan MotoGP. Inilah impian saya dan sokongan ibu bapa yang menelefon setiap hari menjadi penyuntik keyakinan.

“Saya berasa lebih matang dan cepat belajar selok-belok berlumba bersama bekas juara dan pemenang GP.

“Semangat memang berada pada tahap terbaik, apatah lagi berada dalam pasukan bersama juara Asia Talent Cup, Toba dan naib juara, Date. Persekitaran di sini (Sepanyol) memberikan pengalaman baru berharga,” katanya.

Musim ini yang kedua buat Adam berada di Sepanyol selepas menyertai saingan FIM Cev Repsol bersama Hafiza Rofa, tahun lalu.

Adam berganding bersama Date pada perlumbaan ATC di Thailand pada 22 Mac sebelum beraksi pada pusingan kedua di Doha, 27-29 Mac.

Puig, kini pengurus pelumba MotoGP Dani Pedrosa, pernah membimbing beberapa pelumba MotoGP seperti Casey Stoner dan Toni Elias.

Pasukan Asia Talent Cup ditaja Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 7:06 AM