ADAM rindu penampilan semula pada Kejuaraan Motosikal Dunia. — FOTO SIC Junior
ADAM rindu penampilan semula pada Kejuaraan Motosikal Dunia. — FOTO SIC Junior
Saiful Affendy Sapran


“SAYA akan cuba kembali ke Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) secepat mungkin.”

Itu tekad bekas pelumba Moto3, Adam Norrodin yang mahu segera kembali ke pentas berprestij itu selepas terpaksa melupakannya musim ini bagi memberi tumpuan kepada penampilan sulungnya pada Kejuaraan FIM CEV Repsol.

Jelas Adam, sasaran utama untuk kembali ke saingan MotoGP tidak pernah padam dengan CEV - kejohanan yang menjadi pentas terbaik sebelum melangkah ke MotoGP - dijadikan medan buatnya untuk memenuhi hasrat itu.

Adam akan beraksi pada pusingan pertama CEV di Litar Estoril minggu ini bersama pasukan SIC Junior dalam kelas Moto2.

“Memang saya amat rindu untuk beraksi di MotoGP. Saya akan berusaha untuk mencatat keputusan terbaik tahun ini untuk kembali semula ke MotoGP,” katanya.

Adam yang beraksi selama tiga musim di Moto3 bagaimanapun tidak mahu meletakkan tekanan ke atas dirinya pada musim pertama di CEV.

“Untuk pusingan pertama ini saya harap dapat bersaing dalam kelompok 10 hingga 15 terbaik.

“Lagipun litar ini masih baru buat saya. Apa pun saya perlu sentiasa positif sepanjang minggu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 6:36 PM