Jakarta: Presiden Joko Widodo (Jokowi) berkata, pendirian Indonesia berhubung hukuman mati terhadap dua penyeludup warga Australia adalah jelas.

Beliau berkata demikian kepada wartawan ketika ditanya mengenai kenyataan perdana menteri Australia yang memberitahu Jokowi ‘sedang menimbang’ pendiriannya.

“Pendirian kami adalah jelas. Tidak ada pihak yang boleh campur tangan dalam urusan undang-undang negara ini,” katanya yang dipetik oleh portal berita tempatan, Kontan.

Australia sebelum ini berusaha memujuk Indonesia membatalkan hukuman mati ke atas dua warganya Myuran Sukumaran dan Andrew Chan.

Perdana Menteri Tony Abbot Khamis lalu mendakwa masih ada sedikit harapan untuk mereka selepas berbual dengan Jokowi menerusi telefon.

Jokowi sebelum ini menolak rayuan pengampunan daripada kedua-dua pesalah itu dan sebuah mahkamah minggu lalu turut menolak usaha Sukumaran dan Chan mencabar keputusan berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:09 AM