HONDA HR-V.
HONDA HR-V.

Seminggu sebelum pelancaran Honda HR-V di negara ini, ruangan VROOM sudah pun berkongsi pengalaman dengan pembaca berhubung pandu uji jentera itu di Chiang Mai, Thailand.

Namun, tiada spesifikasi lengkap dan harga yang dikongsikan dengan pembaca selepas memandu varian Honda HR-V keluaran negara gajah putih itu.

Populariti kenderaan itu agak baik selepas Honda Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia) menerima 1,500 tempahan sebelum dilancarkan baru-baru ini.

Dipasang di kilang Honda di Pegoh, Melaka, HR-V bermaksud (Hip & Smart Runabout Vehicle) tampil untuk menjadi kenderaan bergaya, praktikal dan menjimatkan bahan api.

Ia dibinakan berdasarkan kepada konsep 'Dynamic Cross Solid' dengan menerapkan rekaan aerodinamik kabin seperti sebuah coupe.

Ruang dalamannya masih lagi luas dengan menggunakan platform Jazz yang mana rekaan tangki bahan api diletakkan di bahagian tengah kenderaan.

Berikutan itu, kerusinya boleh diubah dengan tiga konfigurasi menjadi Mod 'Utiliti', 'Tall' dan 'Long' bergantung pada keperluan pemiliknya.

Meter kelajuan pula diceriakan dengan gegelung iluminasi yang boleh bertukar warna berdasarkan gaya pemanduan.

Malah, bahagian konsul tengah dilengkapi teknologi terkini pertama daripada Honda selepas dilengkapi Brek Parkir Elektrik dan 'Automatic Brake Hold' yang ditawarkan semua varian.

Bagi memberikan pemanduan berprestasi, ia dikuasakan oleh unit enjin 1.8L i-VTEC SOHC yang turut berkongsi rangkaian kuasa Honda Civic 1.8 itu dengan menjana 142 PS pada 6,500 rpm dan tork 172 Nm pada 4,300 rpm.

Pasaran tempatan, Honda HR-V hanya ditawarkan dalam varian pacuan roda hadapan dengan menggunakan transmisi CVT teknologi Earth Dreams.

Honda HR-V turut menawarkan rangkaian ciri keselamatan aktif dan pasif yang komprehensif.

Ia membabitkan enam beg udara, kamera pandang belakang pelbagai sudut, Isyarat Kecemasan Berhenti, lampu nyalaan siang LED, Bantuan Mula Mendaki (HSA), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) dan Isofix.

Hadir dalam tiga varian membabitkan S, E dan V yang dijual masing-masing RM99,800, RM108,800 dan RM118,800 atas jalan termasuk insurans.

Honda HR-V ditawarkan dengan lima warna membabitkan kelabu metalik, putih, perak metalik, hitam mutiara dan hitam metalik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:03 AM