MODEL terbaru Honda, HR-V.
MODEL terbaru Honda, HR-V.
Oleh Erywan Norshal


Kuala Lumpur: Honda Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia) yang mempertaruhkan model terbarunya, HR-V iaitu Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) kompak menyasarkan jualan sehingga 700 unit sebulan.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasinya, Roslan Abdullah berkata, pihaknya yakin mencapai sasaran itu berikutan pasaran segmen SUV dilihat berkembang sehingga 74 peratus dengan jumlah jualan sebanyak 31,000 unit dalam tempoh lima tahun.

Menurutnya, segmen SUV masih didominasi bersaiz besar dan bermakna tiada yang sesuai atau mampu milik untuk pengguna tempatan menaik taraf kenderaan mereka.

“Menyedari peluang ini, Honda Malaysia terus komited menawarkan generasi terbaru SUV kompak dengan harga berpatutan yang disasarkan kepada golongan Gen-Y serta keluarga muda.

“Selain itu, jumlah permintaan Honda HR-V dilihat memberangsangkan selepas menerima 1,500 unit tempahan dalam tempoh sebulan sebelum pelancarannya,” katanya selepada pelancaran Honda HR-V, semalam.

Hadir sama, Penolong Ketua Projek HR-V, Yosuke Sato.

Honda HR-V yang bermaksud ‘Hip & Smart Runabout Vehicle’ menggabungkan aspek kelasakan sebuah SUV, membawa citarasa kenderaan Coupe dan dilengkapi ciri kemudahan mini van. Model itu ditawarkan dalam tiga varian iaitu S, E dan V pada harga atas jalan termasuk insurans masing-masing RM99,800, RM108,800 serta RM118,800.

Jentera yang dijanakan enjin 1.8 liter SOHC i-Vtec itu mampu menyalurkan 142 PS pada 6,500 rpm, manakala tork mencecah 172 Nm pada 4,300 rpm. Model berkenaan turut menjadi perintis kenderaan jenama Honda yang menggunakan brek parkir elektrik dan ‘Automatic Brake Hold’.

Bagi varian tertinggi iaitu V, ia ditawarkan dengan pelbagai ciri keselamatan aktif dan pasif membabitkan enam beg udara, kamera pandang belakang pelbagai sudut, Isyarat Kecemasan Berhenti (ESS), lampu siang LED dan Bantuan Mula Mendaki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 7:29 AM