HR-V RS.
HR-V RS.
Mohd Razlan Salleh


BERMULA Februari 2015, Honda Malaysia memperkenalkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak HR-V.

Sehingga kini, rekod jualannya terus melonjak dan menjadi antara model penyumbang jualan tertinggi keseluruhan Honda di pasaran tempatan saban tahun.

Selepas mengalami beberapa penambahbaikan antaranya pengenalan warna baru dan edisi terhad HR-V Mugen, kini model berkenaan diberi suntikan baru untuk terus mengekalkan momentum jualannya.

Pengenalan varian HR-V RS pada Julai lalu dengan teknologi lebih baik dan premium membolehkan model berkenaan kekal bersaing.

Variable Gear Ratio Stereng System (VGRSS)

Sistem ini membantu pemandu mengekalkan pemanduan dalam sebarang kelajuan atau permukaan jalan raya.

VGRSS berfungsi mengubah nisbah gear dan jumlah sudut stereng secara automatik berdasarkan kepada kelajuan kenderaan.

Ini membolehkan pemandu mengurangkan pergerakan tangan ketika membelok berbanding kawalan stereng biasa yang lebih keras dan sukar.

Secara tidak langsung, VGRSS membolehkan pemandu kekal fokus dan kenderaan lebih responsif apabila melalui selekoh atau memasuki ruang parkir.

Sekiranya memandu di lebuh raya dengan kelajuan tinggi, VGRSS akan meningkatkan sudut stereng untuk menjadikannya kurang sensitif terhadap sebarang pergerakan kecil, seterusnya mengurangkan risiko hilang kawalan atau terbabas.

Honda LaneWatch

Sistem keselamatan unik ini bertujuan memastikan kehadiran objek pada titik buta kenderaan dapat dikesan lebih awal.

Honda LaneWatch mula diperkenalkan pada model Honda Accord sebelum disusuli SUV Honda CR-V dan kini, sistem sama dipasang pada model HR-V RS.

Sistem ini berfungsi memaparkan imej atau objek yang ada pada titik buta sebelah kiri melalui kamera apabila pemandu mengaktifkan lampu isyarat membelok.

Apabila lampu isyarat membelok ke kiri aktif, imej akan terpampang pada skrin tengah kenderaan dan pemandu dapat melihat sebarang objek sama ada penunggang motosikal atau kenderaan lain yang berada berhampiran tetapi terlindung.

Honda HR-V RS masih menggunakan enjin SOHC i-VTEC bersesaran 1.8 liter menjana 141 kuasa kuda (hp) manakala daya kilas sekitar 172Nm.

Enjin ini turut dipadankan bersama dengan kotak gear CVT.

Sudah dibuka untuk tempahan, model terkini berkenaan akan dilancarkan di pasaran tempatan sedikit masa lagi.

caption

1. HONDA HR-V RS tampil dengan gaya lebih garang.

2. LAMPU belakang rekaan baru.

3. SISTEM kamera pada cermin sisi sebelah kiri.

4. GRIL tengah lebih gelap.

5. KAWALAN lebih mantap.

6. BAHAGIAN belakang turut menerima penambahbaikan.

7. SISTEM Honda LaneWatch berguna mengesan penunggang motosikal yang terlindung.

8. VGRSS memastikan pemandu mengawal stereng dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 3:50 AM