Oleh Nazarali Saeril

Kuala Lumpur: MIC akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan(ROS) jika ROS masih tidak menarik balik semua surat berkaitan arahan untuk melakukan pemilihan semula jawatan naib presiden dan 23 ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) sebelum 5 petang, Selasa ini.

Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel pada sidang media di Hotel Seri Pacific pagi tadi berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan itu memandangkan ROS seolah-olah tidak mengendahkan beberapa surat penjelasan berkaitan isu MIC dihantar parti kepada pertubuhan berkenaan sebelum ini.

Katanya, Pengerusi Barisan Nasional(BN) Datuk Seri Najib Razak sudah dimaklumkan berkaitan hasrat MIC untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap ROS jika permohonan dibuat tidak dipenuhi.

“Isu MIC sudah sampai ke kemuncak dan kita hanya setuju jika pemilihan sekali lagi membabitkan semua jawatan diadakan dan bukannya pemilihan semula jawatan tertentu.

“MIC kecewa dengan layanan ROS kerana kita ikut perlembagaan serta undang-undang parti dalam apa saja keputusan dibuat membabitkan kepentingan MIC.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 2:40 PM