Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) menetapkan 16 Mac ini untuk mendengar permohonan MIC yang mahu mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung isu pemilihan semula beberapa jawatan utama parti itu.

Pada tarikh yang sama, Hakim Datuk Asmabi Mohamad akan mendengar permohonan Ros yang mengemukakan bantahan terhadap permohonan MIC itu.

Tarikh itu ditetapkan selepas sebutan kes di kamar Hakim Asmabi di sini, semalam.

Jabatan Peguam Negara diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan, peguam B Jadadish Chandra mewakili Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel, bekas Setiausaha Agung MIC, A. Prakash Rao dan Naib-Naib Presiden parti itu, Datuk S Sothinathan dan Datuk S Balakrishnan.

Sementara itu, peguam S Selvam mewakili Pengarah Strategik MIC, K Ramalingam yang turut memfailkan permohonan yang sama secara berasingan.

Pada 23 dan 24 Februari lalu, semua plaintif memfailkan permohonan semakan kehakiman selepas tidak berpuas hati dengan keputusan ROS yang antaranya menyatakan pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang dilantik pada 2013 tidak sah selain.

Keputusan oleh ROS itu dinyatakan melalui surat bertarikh 5 dan 31 Disember 2014 dan 6 Februari lalu.

Oleh itu, MIC menuntut mahkamah mengeluarkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan yang dibuat oleh ROS itu.

Selain itu, mereka juga memohon pengisytiharan bahawa perintah dalam surat itu adalah tindakan yang tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan bercanggah dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan dan juga Perlembagaan MIC.

Mereka juga memohon deklarasi bahawa keputusan Mesyuarat Agung Tahunan MIC yang diadakan pada 30 November 2013 adalah sah dan berkuat kuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 7:35 AM