SARAVANAN ketika menjawab pertanyaan wakil media.
SARAVANAN ketika menjawab pertanyaan wakil media.

Putrajaya: “Saya terkejut apabila mendapat tahu beliau datang bukan bersama timbalan presiden tetapi bersama Bharat Maniam dan seorang peguam dikenali sebagai Chandra yang tidak diberi mandat daripada parti,” kata Naib Presiden MIC Datuk M Saravanan.

Beliau mempertikaikan tindakan Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel yang didakwa hadir ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tanpa timbalan presiden parti, Datuk Seri S Subramaniam seperti dijanjikan ketika mesyuarat sebelum ini.

Saravanan berkata, beliau menyangkal tindakan Palanivel dan menyifatkan ia kesilapan besar kepada parti itu ekoran tidak mengekalkan janji dan keputusan mesyuarat pada 18 Disember lalu.

“Saya tidak tahu siapa Chandra ini dan bagaimana dia mendapat mandat (daripada parti). Sekiranya peguam ini hadir sebagai kawan, ia tidak ada masalah tetapi dia datang sebagai peguam.

“Beliau (Palanivel) tidak ada hak untuk melantik peguam mengikutinya sesuka hati sedangkan kita ada bukti bahawa beliau sepatutnya hadir ke ROS bersama timbalan presiden (Dr Subramaniam),” katanya ketika ditemui media di ROS di sini, semalam.

Pada 5 Disember lalu, ROS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan baru bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) serta bagi lapan bahagian Bayan Baru, Bukit Gelugor, Subang, Bandar Baru Kulim, Taiping, Tambun, Sepang dan Jasin.

Dalam pada itu, Saravanan berkata, beliau berharap mesyuarat khas itu dapat diadakan bagi membincangkan isu dihadapi parti berkenaan.

“Lupakan semuanya dan biarkan apa yang terjadi sebelum ini sebagai sejarah dan kita mulakan episod baru. Justeru, saya mohon mesyuarat khas itu diadakan.

“Jawatankuasa sedia ada sudah diputuskan tidak sah oleh ROS sehingga MIC membuat pemilihan semula parti,” katanya.

Mengulas mengenai perjumpaan bersama pegawai kanan ROS, semalam, beliau memaklumkan berita baik mengenai MIC iaitu parti itu tidak dibubarkan dalam masa terdekat.

“MIC tidak akan dibubarkan dalam masa terdekat kerana parti melalui mantan Setiausaha Agung, Prakash Rao sudah menghantar surat kepada ROS bertarikh 2 Januari memohon melanjutkan tempoh masa 60 hingga 120 hari untuk menyelesaikan masalah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 6:20 AM