Reuters

Baghdad: Pemberontak Negara Islam (IS) semalam menawan sebahagian besar bandar al-Baghdadi, sekali gus mengancam pangkalan tentera udara yang menjadi lokasi Marin Amerika Syarikat (AS) melatih askar Iraq.

Al-Baghdadi yang terletak kira-kira 85 kilometer (km) dari Ramadi di wilayah Anbar, dikepung sejak beberapa bulan lalu oleh militan IS.

Dalam kejadian semalam, militan menyerang al-Baghdadi dari dua arah sebelum mara memasuki bandar itu, lapor sumber risikan dan ketenteraan.

Pihak berkuasa berkata, satu lagi kumpulan menyerang pangkalan udara Ain al-Asad berhampiran bandar itu tetapi gagal menembusinya. Kira-kira 320 Marin AS kini melatih tentera Iraq di situ.

Jurucakap Pentagon Komander Tentera Laut Elissa Smith mengesahkan pertempuran berlaku di al-Baghdadi namun tiada serangan langsung terhadap pangkalan berkenaan.

“Tembakan dilepaskan menyasarkan kawasan persekitaran pangkalan itu tetapi tidak memberi sebarang kesan,” katanya.

Jurucakap kementerian pertahanan Iraq enggan mengulas kejadian itu.

Pengurus Wilayah, Naji Arak mengesahkan IS memasuki al-Baghdadi dan menyerang beberapa bangunan kerajaan.

Dia berkata, 90 peratus bandar itu ditawan kumpulan berkenaan. Bagaimanapun satu sumber lagi enggan mengesahkannya kerana pertempuran masih berlaku.

Jumlah kematian juga belum diketahui.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:12 AM