ANTARA barang yang dirampas.
ANTARA barang yang dirampas.
Oleh Fardy Bungga

Subang Jaya: Polis menumpaskan satu sindiket samun bersenjata yang bergiat aktif sejak tujuh tahun lalu selepas menahan empat lelaki dalam dua serbuan berasingan di Bukit Puchong dan Bandar Puteri Puchong, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, suspek yang berusia 18 hingga 25 tahun itu ditahan di Bukit Puchong dan Puchong sekitar 9 hingga 11 malam, selepas melakukan risikan terhadap dua kejadian samun bersenjata pada 4 dan 7 Januari lalu.

Menurutnya, semua suspek dipercayai terbabit dalam dua kes samun bersenjatakan parang dan pisau selain turut mencederakan mangsanya mengunakan getah paip dan cota besi.

"Dalam kejadian kes pertama, suspek menyamun taska di Taman Puchong Perdana sebelum menampar dan menerajang dua guru wanita taska berkenaan yang sedang tidur dan melarikan wang tunai serta dua telefon bimbit milik guru di taska itu.

"Kes kedua pula, suspek memecah masuk asrama pekerja warga asing di SS14 dan melarikan sembilan telefon bimbit, wang tunai RM4,000, komputer serta dekoder rakaman litar tertutup (CCTV).

"Mereka juga mencederakan tiga lelaki warga asing dengan menumbuk di muka dan badan selain memukul mangsa menggunakan getah paip," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 6:51 PM