SEBAHAGIAN gelandangan yang hadir untuk mencari pekerjaan.
SEBAHAGIAN gelandangan yang hadir untuk mencari pekerjaan.
Oleh Roslan Ibrahim


ISU gelandangan yang serius di ibu kota mendorong syarikat Be the Change Resources mencarikan pekerjaan untuk golongan itu.

Pengurusnya, Ahamad Emran berkata, di ibu kota ada lebih 1,000 gelandangan dan jika tidak dibendung, ia akan menjadi masalah sosial yang membimbangkan ma­syarakat dan negara.

Beliau berkata, sejak melakukan kerja sosial membabitkan gelandangan, ramai antara mereka ada kemahiran yang boleh digunakan jika masyarakat sanggup memberi pekerjaan.

“Sampai bila kita mahu memberi makanan percuma sedangkan masyarakat sepatutnya membantu supaya mereka keluar daripada kepompong gelandangan.

“Jika bekerja, mereka tidak perlu lagi menjadi gelandangan dan boleh hidup berdikari,” katanya.

Justeru, pihaknya bekerjasama dengan beberapa restoran makanan di ibu kota untuk mengambil golongan gelandangan sebagai pekerja.

“Alhamdulillah, usaha yang kami lakukan ini sejak tahun lalu mendapat sambutan dalam kalangan gelandangan.

“Apabila kami membuka kaunter setiap Sabtu malam di Chow Kit antara jam 8.30 hingga 10.30 malam, ramai yang hadir untuk mendapatkan makanan percuma dan pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, penyelaras projek mencari pekerjaan, Hayati Ismail berkata, pihaknya mensyaratkan gaji RM900 dan tempat pe­nginapan jika mana-mana restoran mahu mengambil gelandangan sebagai pekerja.

Katanya, gaji itu diang­gap munasabah memandangkan kos sara hidup yang tinggi di ibu kota.

“Ramai diterima bekerja tetapi mereka tidak dapat bertahan lama kerana masalah diri sendiri seperti pergaulan, disiplin dan komunikasi.

“Mereka sudah lama menjadi gelandangan, jadi sukar mengubah tabiat bangun pagi dan mendisip­linkan diri,” katanya.

Justeru, pihaknya mencadangkan memberi latihan pekerjaan kepada golo­ngan itu supaya mereka dapat menyesuaikan diri apabila bekerja nanti.

“Konsep ini seperti melatih pembantu rumah warga asing, jika ada kemahiran, mereka lebih yakin untuk bekerja.

“Mereka ada kemahiran cuma kami perlu memberi sedikit latihan selain fokus kepada soal disiplin dan mengubah mentaliti daripada gelandangan kepada manusia normal,” katanya.

Beliau mengakui, usaha untuk melatih golo­ngan itu mengambil masa dan kesabaran tetapi jika dilakukan bersungguh-sungguh, ia mampu me­ngurangkan gejala gelandangan di ibu kota.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 11:34 AM