PENGASAS NGO Baitulfiqh, Haliza Abdul Halim menyantuni gelandangan di Kuala Lumpur.
PENGASAS NGO Baitulfiqh, Haliza Abdul Halim menyantuni gelandangan di Kuala Lumpur.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kekangan kewangan kritikal disebabkan kerja tidak menentu menyebabkan kaki lima dan kawasan lapang di beberapa lokasi ibu kota terus menjadi pilihan gelandangan.

Golongan itu menjadikan kawasan sekitar Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Masjid Jamek dan kawasan berhampiran Bulatan Kinabalu di sini, sebagai lokasi berteduh.

Abidin, 45, menjadi antara gelandangan yang bernasib baik kerana perutnya terisi saban hari apabila badan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulurkan makanan.

Menurutnya, dia kehilangan kerja sebagai pembantu kedai apabila majikannya tidak dapat meneruskan operasi ekoran arahan kerajaan sejak beberapa bulan lalu.

"Gaji terputus selepas tidak lagi bekerja menyebabkan saya tidak mampu untuk menyewa bilik untuk berteduh.

"Setiap hari saya bersama gelandangan lain melelapkan mata di kaki lima namun bernasib baik kerana tidak pernah kelaparan," katanya.

Beliau berkata, NGO sememangnya prihatin dan terus menghulurkan makanan kepada gelandangan setiap hari.

Katanya, dia bersyukur kerana masih belum berlapar walaupun ketiadaan wang untuk meneruskan hidup.

"Terima kasih kepada NGO yang terus membantu kami dan saya tidak mahu terus begini kerana akan bekerja semula sebaik dibenarkan.

"Siapa mahu berterusan sebegini tapi ini aturan yang perlu dilalui buat sementara waktu disebabkan Covid-19," katanya.

Pengasas NGO Baitulfiqh Haliza Abdul Halim berkata, pihaknya akan mengedarkan 100 bungkusan makanan setiap hari kepada gelandangan di sekitar ibu kota.

Menurutnya, makanan akan diagihkan bermula jam 8 pagi setiap hari hasil sumbangan orang ramai.

"Menerusi Projek Dapur Asnaf, kami akan melantik asnaf untuk memasak sebelum menggunakan 'runner' bagi menghantar makanan kepada gelandangan di ibu kota.

"Ada wakil kami yang akan mengedarkan makanan kepada mereka yang tidak bernasib baik agar tidak terus kelaparan," katanya.

Beliau berkata, agihan makanan kepada gelandangan dibuat sejak 20 tahun lalu namun ada antara mereka yang sudah bekerja dan mampu menyewa bilik.

Katanya, pandemik ini juga menyebabkan ramai yang kehilangan kerja dan terpaksa tidur di kaki lima dan mengharapkan ihsan orang ramai.

"Kami sentiasa memastikan gelandangan di lokasi agihan akan mendapat makanan setiap hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 3:15 PM