MESSI (kanan) melepasi pemain tengah Espanyol, David Lopez (dua dari kiri) di stadium  Camp Nou.
MESSI (kanan) melepasi pemain tengah Espanyol, David Lopez (dua dari kiri) di stadium Camp Nou.
AFP

MADRID: Hatrik Lionel Messi menyaksikan Barcelona melonjak empat mata di depan Real Madrid di puncak La Liga Sepanyol ketika Ousmane Dembele menandakan penampilan sulungnya dengan satu umpanan gol ketika membelasah jiran setempat Espanyol 5-0, awal pagi tadi.

Terdahulu, Madrid dihukum kerana ketiadaan Cristiano Ronaldo yang digantung dan kegagalan Gareth Bale menyudahkan peluang apabila mereka terikat 1-1 di laman sendiri dengan kelab pendatang baru Levante.

Barca tidak melakukan kesilapan sama sekalipun berdepan masalah di luar padang pada awal musim apabila anak buah Ernesto Valverde mengumpul mata maksimum daripada tiga aksi pertama La Liga.

Messi mengemudi dengan persembahan mengagumkan tetapi gol pembukaannya memerlukan sedikit tuah apabila dia tidak dikatakan ofsaid ketika menerima lorongan Ivan Rakitic sebelum merembat ke penjuru gol.

Gol kedua Barca hadir menerusi serangan balas pantas berikutan sepakan sudut Espanyol diketuai Messi dan Luis Suarez sebelum hantaran silang leret Jordi Alba ditampan masuk pemain Argentina itu.

“Satu penghormatan bermain dengan pemain terbaik di dunia,” kata Suarez.

“Perlawanan demi perlawanan dia terus membuktikan bahawa Messi akan bermain lebih lama lagi.”

Messi melenyapkan cabaran lawan dengan melengkapkan hatriknya menerusi satu lagi penamat tajam berikutan hantaran Alba.

Dembele berdepan tugas getir menggantikan Neymar yang berpindah dan pemain Barca bernilai 105 juta euro (RM530 juta) itu terpaksa menunggu 22 minit sebelum tamat untuk melakukan penampilan sulung menggantikan Gerard Deulofeu.

Dia membuktikan kenapa Barca menjadikan pemain berusia 20 tahun itu sebagai pemain ketiga termahal dalam sejarah apabila hantaran silangnya disudahkan Suarez bagi melengkapkan jaringan selepas Gerard Pique menanduk masuk gol keempat Barca.

Di Santiago Bernabeu, Madrid dihukum kerana permulaan hambar ketika mereka kehilangan mata di gelanggang sendiri bagi perlawanan kedua berturut-turut.

“Kami tidak berpuas hati dengan persembahan kami, apatah lagi pada babak pertama,” kata bos Real, Zinedine Zidane. “Kami tak perlu terburu-buru. Kami perlu bersabar dan memikirkan mengenai perlawanan berikutnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 11:12 AM