ANGGOTA bomba melihat bot milik mangsa yang ditemui. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
ANGGOTA bomba melihat bot milik mangsa yang ditemui. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Oleh Yusmawati Mhd Yusof


Jasin: Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjun dari kelong untuk menyelamatkan botnya yang hanyut kira-kira satu kilometer dari Jeti Nelayan Pantai Siring, Serkam di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa Ibrahim Mat, 51, terjun ke laut selepas melihat bot miliknya yang diikat pada tangga kelong berkenaan hanyut.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau Masri Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 9.56 malam.

"Seramai enam anggota dari BBP Merlimau dan 10 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jalan Kubu bersama dua bot ke lokasi.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dimulakan jam 10.20 malam dengan bantuan nelayan tempatan membabitkan 11 bot," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi SAR mangsa dihentikan jam 2 pagi dan disambung semula jam 8 pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Oktober 2014 @ 10:01 AM