DR Abu Bakar (dua dari kanan) menyampaikan cek sebagai geran CIF kepada Pengarah PMM Mejar (K) Zolkarnain Jobshi (kiri).
DR Abu Bakar (dua dari kanan) menyampaikan cek sebagai geran CIF kepada Pengarah PMM Mejar (K) Zolkarnain Jobshi (kiri).
DR Kamarudin (kanan) menerangkan penggunaan PES kepada Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Md Diah (dua dari kiri) sambil diperhatikan Pengarah PMM Mejar (K) Zolkarnain Jobshi (kiri) dan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah (tengah).
DR Kamarudin (kanan) menerangkan penggunaan PES kepada Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Md Diah (dua dari kiri) sambil diperhatikan Pengarah PMM Mejar (K) Zolkarnain Jobshi (kiri) dan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah (tengah).
DR Kamarudin (tengah) dan Noor Ropidah (kanan) menunjukkan cara penggunaan PES kepada nelayan, Othman Chomil, 79.
DR Kamarudin (tengah) dan Noor Ropidah (kanan) menunjukkan cara penggunaan PES kepada nelayan, Othman Chomil, 79.
Mohamad Hussin


Sektor perikanan antara yang terpenting di bawah Program Transformasi Agromakanan bagi memastikan subsektor perikanan terus menyumbang kepada kecukupan bekalan makanan negara.

Permintaan terhadap ikan dijangka meningkat daripada 1.9 juta tan metrik pada 2010 kepada tiga juta tan metrik pada 2020.

Menyedari hakikat itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyediakan geran Dana Inovasi Komuniti (CIF) sebanyak RM102,000 kepada Politeknik Merlimau, Melaka (PMM) bagi membangunkan inovasi Portable Eco Supply (PES).

PES ialah sumber bekalan kuasa mudah alih membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik yang memerlukan bekalan kuasa ulang alik 240 (VAC), arus terus 12 (VDC) dan 5 VDC.

Alat ini berkonsepkan teknologi hijau apabila ia menggunakan bateri dan boleh dicas semula menerusi dua cara sama ada cahaya matahari atau bekalan elektrik.

Ia dapat digunakan nelayan sebagai alternatif bekalan kuasa mudah alih yang membekalkan kuasa bagi kegunaan peralatan elektrik seperti lampu, kipas dan mempunyai sambungan kabel USB bagi mengecas telefon bimbit.

Ketua Projek dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE) PMM Dr Kamarudin Md Tahir berkata, PES juga bersaiz kecil, ringan, mudah dibawa dan mudah digunakan.

Beliau berkata, projek berkenaan dimulakan sejak Januari tahun lalu membabitkan lapan penyelidik termasuk pelajar PMM yang diketuai ketua penyelidiknya, Noor Ropidah Bujal.

“Projek PES adalah program berkonsep merakyatkan hasil inovasi pelajar kepada komuniti bagi meningkatkan jaringan antara institusi dan komuniti iaitu ahli Persatuan Nelayan kawasan Jasin, Melaka.

“Ia selari visi politeknik iaitu menjadi institusi TVET premium yang diterajui industri negara. Buat masa ini, kita menguji set prototaip PES di sebuah kelong dan bot nelayan di Pantai Siring, Jasin.

“Selepas fasa percubaan, ternyata PES mampu dikomersialkan dan sangat berguna kepada nelayan ketika berada di laut,” katanya.

Dr Kamarudin berkata, ia secara langsung dapat meningkatkan sosioekonomi nelayan dengan cara memajukan industri rumah kelong dan mengurangkan kos operasi nelayan pesisir pantai dengan penggunaan bekalan kuasa mudah alih ini.

“Sebaik dibawa ke fasa komersial, PES perlu mengambil kira reka bentuk dan kos yang lebih cekap, selain fungsi praktikal untuk kegunaan nelayan pesisir pantai dan pengusaha kelong.

“Ia mampu menjana tenaga elektrik selama kira-kira lapan jam, malah mampu menampung bekalan tenaga lebih lama jika menggunakan sambungan sistem tenaga solar,” katanya.

Menurutnya, dalam projek ini, PMM mengadakan kolaborasi perkongsian pintar dengan tiga institusi iaitu MNA Research Sdn Bhd (MNAR), Persatuan Nelayan kawasan Jasin dan Persatuan Pengilang Solar Bumiputera Malaysia (BUSFA).

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau berkata, era ekonomi kini memerlukan kreativiti dan inovasi yang menjadi pemangkin kepada daya saing pada masa hadapan.

“Sudah tiba masanya kita terus menjadikan inovasi sebagai pelonjak utama yang mampu memacu ekonomi negara terutama dengan mengembangkan inovasi dalam sains dan teknologi.

“Terdapat banyak peluang untuk sains, teknologi dan inovasi (STI) di Malaysia maju ke hadapan dan memacu pembangunan ekonomi negara selaras dengan Dasar Sains dan Teknologi Negara.

“Ia bertujuan menggalakkan penggunaan sains dan teknologi sebagai satu alat untuk pembangunan ekonomi negara, sekali gus mencapai hasrat Malaysia bergelar sebuah negara maju,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 2:56 PM