MANGSA yang maut di tempat kejadian. FOTO Rosli Ilham
MANGSA yang maut di tempat kejadian. FOTO Rosli Ilham
Oleh Rosli Ilham


Dungun: Seorang pemandu van Toyota Hiace maut selepas kenderaan dipandunya merempuh belakang sebuah lori lima tan di Kilometer 377.1 Lebuh Raya Pantai Timur, dekat Bukit Besi di sini, 3.45 petang ini.

Kemalangan itu menyebabkan mangsa, Mohamad Noh Abdullah, 26, berasal dari Ketereh, Kelantan, maut serta-merta di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu bersendirian dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan merempuh bahagian belakang lori yang sarat membawa muatan kayu.

Berikutan kemalangan itu mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang bergegas ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 5:19 PM