KEADAAN motosikal dinaiki dua sahabat selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO Rosli Ilham
KEADAAN motosikal dinaiki dua sahabat selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO Rosli Ilham
MANGSA meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO Rosli Ilham
MANGSA meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Dungun: Pelajar tingkatan lima maut manakala rakannya putus pergelangan kaki kiri selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 73.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Pulau Serai di sini, kira-kira 7 malam tadi.

Mohd Syawal Abdul Wahid, 17, yang membonceng motosikal parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian selepas dilanggar lori.

Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang rakannya, Muhammad Zurkarnain Mustaffa Harun, 17, terlebih dahulu merempuh bahagian kanan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Rempuhan terbabit menyebabkan Mohd Syawal tercampak ke laluan kanan jalan sebelum dilanggar lori dipandu Mohamad Sari Ngah, 55, yang datang dari arah bertentangan.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat manakala rakannya turut dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut mengenai kejadian terbabit sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 10:02 PM