Liverpool: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers menegaskan Mario Balotelli mesti bekerja keras dalam latihan ketika beliau bersedia menerima kepulangan semula penyerang Daniel Sturridge dalam aksi pasukan utama.

Balotelli gagal meraih tempat ketika kelab Liga Perdana itu seri tanpa jaringan dengan kelab divisyen dua, Bolton Wanderers pada pusingan keempat Piala FA di Anfield, awal pagi semalam, sekalipun penyerang Itali itu cergas.

Sejak berpindah dengan harga £16 juta (RM86 juta) dari AC Milan Ogos lalu, Balotelli hanya menyumbat dua gol dalam 18 penampilan bagi semua pertandingan buat Reds.

Rodgers turut mengubah sistem permainan Liverpool kepada lebih dinamik 3-4-2-1 yang menyaksikan Raheem Sterling lebih banyak berperanan di tengah.

Pengurus dari Ireland Utara itu mendedahkan beliau berbincang selama sejam dengan Balotelli di padang latihan Liverpool, Melwood dan menggesa penyerang itu berusaha merebut tempatnya semula.

“Mario tidak cedera cuma dia tidak dipilih,” jelas Rodgers.

“Saya fikir ia sukar buatnya kerana pasukan bertindak dengan amat bagus. Dia mungkin melihat Liverpool sebenar dalam enam atau tujuh minggu terakhir dan faham apa yang diperlukan untuk dipilih.

“Sudah tentu saya menilainya setiap hari di padang latihan,” ujar Rodgers.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 6:42 AM