Thomas (kanan) pada majlis pelancaran Green Haven, semalam.
Thomas (kanan) pada majlis pelancaran Green Haven, semalam.

Johor Bahru: Welton Devopment Sdn Bhd (Welton Development) pemaju hartanah terkemuka mengunjurkan perolehan RM2 bilion dalam tempoh lima tahun daripada tiga projek kediaman di Johor Bahru dan sekitar pinggir Kuala Lumpur.

Ketika ini, Welton Development mempunyai 12.12 hektar simpanan tanah bernilai RM33 juta di Johor Bahru, Cheras dan Kota Tinggi.

Syarikat berkenaan juga berhasrat untuk menambah simpanan tanah menerusi peruntukan 25 peratus daripada keuntungan syarikat setiap tahun bagi tujuan itu terutama lokasi di Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Pemasarannya, Thomas CY Ling berkata, dalam tempoh lima tahun syarikatnya akan bekerjasama dengan syarikat hartanah tempatan bagi memperkukuhkan kedudukannya.

Ketika ini terdapat dua syarikat pemaju yang berminat untuk bekerjasama termasuk satu syarikat senaraian awam.

“Dalam tempoh tiga tahun syarikat menyasarkan pembangunan tiga projek dan salah satu daripadanya Green Heaven, Permas Jaya di Johor Bahru yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM1 bilion dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku kedua 2017.

“Green Haven projek perintis kami dan ia mempunyai konsep terkini yang diperlukan pembeli antaranya persekitaran hijau serta pemasangan sistem bersepadu kediaman pintar bagi setiap unit kediaman,” katanya pada majlis pelancaran Green Haven di sini, semalam.

Green Haven terdiri daripada tiga menara iaitu Blok A, B dan C serta terdapat 1,134 unit kediaman dengan tawaran harga bermula RM495,580 hingga RM1.03 juta mengikut jenis kediaman serta keluasan.

Thomas berkata, Blok A dan B dibuka kepada pembeli dan setakat ini 30 peratus daripadanya sudah ditempah. Manakala, Blok C dibangunkan untuk tujuan sewaan yang diuruskan Welton Development.

“Green Haven disasarkan kepada pembeli yang ingin mendiami kediaman di sini dan 30 peratus daripada keseluruhan unit diperuntukkan kepada pelabur kerana kami ingin pembeli menikmati sendiri konsep kediaman terkini di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 7:23 AM