Norleha dan Razali menjadi tunjang kekuatan dan pembakar semangat Nur Haza Mazlin dalam menguruskan kedai makannya.
Norleha dan Razali menjadi tunjang kekuatan dan pembakar semangat Nur Haza Mazlin dalam menguruskan kedai makannya.
Pulut sambal ikan antara sajian sarapan yang  menjadi pilihan pelanggan.
Pulut sambal ikan antara sajian sarapan yang menjadi pilihan pelanggan.
Ikan patin masak tempoyak antara sajian yang menjadi pilihan utama.
Ikan patin masak tempoyak antara sajian yang menjadi pilihan utama.
Nur Haza Mazlin (lapan dari kanan) bersama  pekerjanya.
Nur Haza Mazlin (lapan dari kanan) bersama pekerjanya.
Teks dan gambar Ainal Marhaton Abd Ghani

“Untuk berjaya dalam perniagaan, kita tidak sepatutnya terlalu memikirkan untung saja sebaliknya bersedekah yang tidak semestinya dalam bentuk wang, tetapi menerusi pemberian makan untuk mendapat rahmat dan diberkati Allah sepanjang masa.

“Memang orang akan berkata, ‘kalau berniaga mesti nak untung, siapa yang nak rugi’, tetapi kita perlu percaya Allah sudah tetapkan rezeki masing-masing. Cuma kita perlu berusaha untuk mendapatkannya kerana kita tidak tahu ia banyak atau sikit, cepat atau lambat,” ungkap Nur Haza Mazlin Razali.

Menjadi falsafah hidupnya ‘amalan bersedekah mampu meningkatkan rezeki’, Nur Haza Mazlin yang mesra ­dengan panggilan Aja ini mengakui lebih selesa berlebih kurang dengan pelanggan, tetapi tidak sampai menyekatnya daripada memperoleh keuntungan dalam perniagaan makanan yang diusahakan sejak lebih enam tahun lalu.

“Arwah nenek pernah berpesan kepada ibu, jangan kedekut untuk bersedekah kerana ia boleh menambah rezeki, masak lauk biarlah macam kita hendak bagi makan ahli keluarga, enak dan sedap bukan masak lebih kurang kerana ia akan menjadi darah daging pelanggan.

“Saya selesa dengan cara begini kerana berniaga makanan adalah cabang perniagaan yang diwarisi dari zaman arwah nenek. Ilmu niaga yang diperturunkan membuatkan kami sentiasa bersedia untuk kekal dalam bisnes ini,” katanya ketika ditemui di kedai makannya di Bukit Setongkol,Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Berpegang kepada pesanan itu, Nur Haza Mazlin yang mewarisi kemahiran memasak daripada ibunya, Norleha Abd Rahman, 65, tidak pernah lupa untuk meneruskan amalan bersedekah dengan caranya tersendiri iaitu dengan memberi sumbangan makanan secara percuma kepada pelanggan yang berkunjung ke tempatnya sekali seminggu.

Menurutnya, amalan itu sudah pun bermula sejak zaman arwah nenek sebelah ibunya, Teh Jusoh yang berniaga ikan di pasar Tanjung Lumpur, Kuantan suatu ketika dahulu.

“Ibu bercerita, sudah menjadi kebiasaan arwah nenek memasak satu tong (sebesar tin minyak tanah) bubur nasi setiap hari dan memberinya secara percuma (sedekah) kepada sesiapa saja yang membeli ikan atau sekadar singgah di kedainya itu.

“Bukan itu saja, arwah nenek turut menyediakan ikan kering yang dibakar menggunakan kayu api untuk dijamu kepada yang mengambil bubur nasi itu,” katanya.

Nur Haza Mazlin berkata, dia bersyukur kerana dapat meneruskan amalan yang ditinggalkan arwah neneknya dengan memberikan makanan percuma (bubur lambuk, bubur jagung atau bubur kacang hijau) sekali seminggu. Ini secara tidak langsung sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang menjamu selera di kedainya.

“Bagaimanpun, bubur ini bukan hanya untuk pelang­gan sebaliknya sesiapa saja boleh mengambilnya walaupun dia tidak membeli makanan atau duduk makan di sini.

“Saya maklumkan terlebih dulu di Facebook dan alhamdulillah, sambutan diberikan amat baik sekali,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Afzan (SMKTA), Kuantan itu.

Menyingkap kisahnya memulakan perniagaan kedai makannya di tepi Jalan Bukit Setongkol itu, wanita berusia 33 tahun yang masih menetap di bawah satu bumbung bersama ibu bapanya itu berkata, dia tidak mahu kepakaran memasak dimiliki ibunya yang boleh menyediakan pelbagai jenis masakan lenyap begitu saja.

Ibunya boleh memasak pelbagai jenis lauk dan kuih-muih tradisional serta pernah berjualan ketika mereka sekeluarga menetap di Sungai Lembing. Ketika itu, bapa­nya, Razali Husin, 75, bertugas sebagai penjaga lif sewaktu bekerja di syarikat perlombongan bijih timah bawah tanah milik syarikat British, The Pahang Consolidated Company Limited (PCCL).

Selepas perusahaan lombong bijih timah ditutup sekitar 1986, mereka berpindah ke Bukit Setongkol dan membuka kedai runcit manakala ibunya meneruskan aktiviti jualan kuih serta nasi.

“Ibu tidak boleh duduk diam justeru apabila pindah ke Bukit Setongkol, dia teruskan minatnya berniaga dan pernah menyediakan sehingga 13 jenis makanan termasuk kuih-muih tradisional dan pelbagai jenis mi dan nasi untuk dijual kepada penduduk kampung.

“Saya pula mula belajar berniaga ketika berusia sembilan tahun. Apa yang ibu buat, saya jual tidak kira di sekolah atau rumah jiran tanpa rasa malu. Ibu pernah kata muka saya muka tak malu, terjerit-jerit menjual kuih. Muka pembawa rezeki, kata ibu,” selorohnya.

Bagaimanapun, atas sebab tertentu, mereka sepakat memulakan perniagaan makanan berdasarkan pe­ngalaman ketika berniaga di Sungai Lembing dan kedai runcit terus ditutup sehingga ke hari ini.

“Daripada tidak pandai memasak, saya belajar daripada ibu selain menghadiri kursus masakan anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) negeri dan mengikuti seminar menguruskan perniagaan daripada pakar motivasi terkenal Dr Azizan Osman.

“Apabila digabungkan ketiga-tiganya, hasilnya seperti yang saya nikmati sekarang dan perniagaan bertambah maju walaupun ada ketikanya merudum juga, tetapi cepat-cepat diatasi,” katanya.

Murah dengan senyuman dan dengan sikap ramahnya yang mudah menegur pelanggan membuatkan Nur Haza senang didekati. Penulis mengakuinya kerana dapat melihat sendiri bagaimana wanita berkulit putih kuning itu melayan tetamunya termasuk penulis dengan mesra sekali tidak ubah seperti menerima layanan keluarga.

“Ibu selalu pesan, perlu mesra dan tunjukkan sikap ramah serta layan pelanggan seperti ahli keluarga sendiri kerana itu adalah ciri seorang peniaga yang berjaya dan bukan fikir pasal untung semata-mata.

“Saya tidak nafikan ada juga pelanggan yang cerewet dan tidak dapat terima apabila ada lauk yang harganya agak tinggi. Saya terangkan sebaik mungkin mengapa lauk yang dibelinya mahal,” katanya yang turut menerima tempahan untuk pelbagai majlis keraian dan keramaian.

Nur Haza Mazlin berkata, selain ibunya, dia juga belajar memasak daripada kaum Cina dan India.

“Pertemuan secara tidak sengaja ketika membeli barang di pasar menemukan saya dengan beberapa kenalan bukan Melayu dan mereka tidak lokek menurunkan petua serta cara memasak masakan Cina.

“Justeru, lauk-pauk saya tidak terbatas kepada masakan tradisional dan Melayu moden sebaliknya turut diselitkan dengan hidangan bercitarasakan masakan Cina serta India dan pelanggan menyukainya,” katanya.

Memulakan perniagaan kedai makannya dengan dua kanopi kecil dan pelanggan terhad kini Nur Haza Maz­lin gembira kerana kedai makannyasemakin dikenali malah mampu menampung hampir 100 pelanggan pada satu-satu masa.

“Daripada warung kecil yang tidak dikenali dengan hanya beberapa jenis lauk, kini saya amat bersyukur kerana dengan ilmu yang dipelajari dalam bidang masakan dan hasil mulut seperti bertih goreng ini, saya mampu menawarkan hampir 80 jenis lauk setiap hari kepada pelanggan.

“Nampak memang besar jumlahnya, tetapi konsep yang saya gunakan di sini berbeza dengan kedai makan atau restoran lain.

“Setiap jenis lauk hanya disediakan untuk satu dulang. Lauk yang habis akan digantikan dengan menu berbeza, maksudnya pelanggan yang makan jam 1 tengah hari tidak akan jumpa lauk yang disediakan pada jam 11 pagi,” katanya yang menjadikan arwah abangnya, Mazlan, sebagai idolanya untuk menceburi bidang masakan.

Menurutnya, ketika hayatnya, arwah abangnya yang juga seorang profesional dalam bidang perubatan turut melakukan amalan bersedekah sekali seminggu kepada pelanggan yang berkunjung ke kliniknya.

“Arwah sentiasa mengingatkan saya supaya bersedekah jika menjalankan perniagaan kerana katanya, kita tidak akan jatuh miskin dengan bersedekah sebaliknya ia akan menjadikan rezeki kita bertambah tanpa disedari.

“Budaya bersedekah sudah menjadi amalan keluarga kami dan berharap ia akan berpanjangan sehingga ke anak cucu,” katanya yang menggunakan hampir 80 kilogram (kg) beras setiap hari untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Antara menu pilihan ialah ikan patin masak petai tempoyak, ikan puyu masak lemak cili api, ayam lemon, kambing bakar, tauhu makanan laut, ikan kerisi berlada, telur ikan masak lemak, telur sotong goreng kunyit, ikan pari stim asam mangga, ayam pandan dan ikan pekasam.

Sajian kampung turut disediakan termasuk gulai rebung, gulai pisang muda dan gulai jantung pisang serta lebih 15 jenis sayur goreng.selain sup bebola ikan, sosej berlada, ayam goreng lemon, ayam goreng nestum juga ayam mentega keju bijirin.

Nur Haza Mazlin juga berkata, pembantu setia­nya, Nor Khazlina Hamid, 20, turut menyediakan 11 jenis sambal termasuk sambal belacan mempelam,sambal belacan limau, sambal kicap yang dimakan bersama petai jeruk, jeruk maman dan bawang jeruk dan ulam-ulaman hijau lain.

Sebagai hidangan pencuci mulut, Warung Aja me­nyediakan hidangan santai jagung nyiur (kelapa), ubi rebus, ubi goreng dan pulut sambal ikan yang dijual pada harga RM3 dan RM5 setiap hidangan.

Menurutnya, ibu bapanya dan suami, Mohd Nur Safarey Ramli, 33, menjadi tulang belakang dan kekuatannya dalam memajukan kedai makannya itu. Ibunya lebih banyak bertindak sebagai penasihat manakala bapanya membantu menguruskan kedai serta melayan pelanggan manakala dia sendiri sebagai tukang masak dan me­nguruskan pembelian bahan mentah serta pemilihan sajian setiap hari.

“Suami banyak berkorban terutama menjaga dua anak kami selain menemani saya membeli barang sama ada di pasar raya atau pasar ­borong.

“Tanpa sokongan suami belum tentu saya boleh bertahan sehingga ke hari ini. Walaupun sibuk dengan dengan tugasnya sebagai kakitangan di Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), dia tidak pernah mengeluh atau bersungut ketika saya minta bantuannya,” katanya yang kini dibantu 18 pekerja.

Sikap rendah diri dan sentiasa bermurah hati dalam mencari rezeki mendorong Aja menjadi lebih dekat di hati pelanggan dengan menawarkan nasi tambah dan air kosong percuma setiap hari.

Warung Aja yang dibuka setiap hari mulai jam 8 pagi hingga 5 petang turut menerima kunjungan pelanggan dari Kelantan dan Terengganu setiap hujung minggu terutama Jumaat.

Katanya, ada pelanggan yang datang dari negeri berkenaan semata-mata untuk menikmati hidangan yang tidak ditemui di tempat mereka.

“Saya terharu dengan sokongan diberikan. Warung ini pula berdepan dengan Masjid Bukit Setongkol, selesai solat Jumaat keadaan seperti ada majlis keramaian. Memang ramai sehingga terpaksa menunggu giliran mengambil lauk masing-masing,” katanya.

Sebagai perancangan masa depan, Nur Haza Mazlin berhasrat untuk membuka cawangan Warung Aja di bandar Kuantan.

“Tetapi ia memerlukan perancangan yang teliti kerana banyak aspek perlu diambil kira termasuk kedudukan kewangan dan pengambilan pekerja.

“Saya juga ingin membantu pengusaha industri kecil sederhana (IKS) meluaskan pasaran produk makanan mereka seperti mana yang saya lakukan sekarang dengan memberi peluang kepada mereka meletakkan produk makanan di ruang yang disediakan tanpa mengenakan sewa,” katanya mengakhiri perbualan petang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 12:09 PM