SENIMAN mengunjungi Jins di rumahnya bagi memberi sokongan moral.
SENIMAN mengunjungi Jins di rumahnya bagi memberi sokongan moral.
Oleh Norhayati Nordin


Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) kesal dengan penyebaran gambar pengarah dan pelakon legenda, Tan Sri Jins Shamsuddin, 80, oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa beliau dalam keadaan uzur.

Presidennya, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi, 35, berkata, gara-gara sikap tidak bertanggungjawab itu, pelbagai andaian tidak benar mengenai keadaan kesihatan Jins, yang pernah menjadi penasihat SENIMAN diperkatakan.

“Ternyata, apa yang diperkatakan mengenai keadaan kesihatan beliau tidak benar dan saya sendiri melihat beliau masih sihat.

“Cuma beliau berdepan masalah ingat dah menjadi pelupa. Fizikalnya masih sihat dan beliau tiada sebarang penyakit,” katanya yang berkunjung ke rumah Jins di Hulu Klang, Selangor bersama Biro Agama SENIMAN, baru-baru ini.

Turut hadir seniwati Mariani Ismail, 81, yang juga rakan seperjuangan Jins dalam arena seni.

Menurut Zed, penyebaran berita yang tidak benar terhadap bintang legenda negara itu memberikan imej tidak baik kepada industri hiburan tempatan.

Sementara itu, dalam kunjungan itu SENIMAN turut menghulurkan sumbangan berupa wang tunai dan merancang mengadakan majlis doa selamat untuk kesihatan Jins dalam masa terdekat ini.

“Selain itu, kunjungan kami itu juga bagi memberi sokongan moral kepada Jins dan keluarga,” katanya.

Sebelum ini, keadaan kesihatan Jins menjadi perbualan hangat di laman sosial berikutan penyebaran foto terbaru bekas senator itu.

Beberapa laman blog melaporkan keadaan Jins kelihatan semakin uzur berdasarkan foto yang didakwa diambil daripada laman sosial.

Jins kini tidak menghidap sebarang penyakit selain Alzheimer yang dihidapi sejak 2011 dan kini dijaga dengan baik oleh isterinya, Puan Sri Halijah Abdullah di rumah mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 8:39 AM