MOHAMAD bertanya khabar kepada Jins.
MOHAMAD bertanya khabar kepada Jins.
JINS diapit Mohamad, Habeb Mohamad (berdiri kiri), Daud, Yusof (berdiri kanan), Jebat dan Nadim (duduk kanan).
JINS diapit Mohamad, Habeb Mohamad (berdiri kiri), Daud, Yusof (berdiri kanan), Jebat dan Nadim (duduk kanan).
Oleh Adam Salleh


Orang berbudi, kita berbahasa. Itulah tanda bangsa yang hargai perwiranya.

Pegangan begitulah yang disematkan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Tan Sri Mohamad Aziz agar jasa Tan Sri Jins Shamsuddin tidak boleh dilupakan golongan politikus dan seniman tanah air.

Ketika mengunjungi tokoh perfileman tersohor itu di kediamannya di Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini, Mohamad yang datang dari Johor Bahru menyifatkan Jins sebagai seniman teristimewa kerana dapat mengabdikan diri dalam kancah politik dan seni dalam masa serentak.

“Bukan calang orang boleh menjadi seperti Tan Sri Jins ini, berjaya dalam seni dan berjaya dalam politik. Setakat ini seniman tanah air kita yang dapat pergi jauh dalam politik sehingga dilantik menjadi senator hanya beliau. Orang politik usah lupakan jasa beliau,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Sri Gading (1986-2013) ini mengenali Jins sejak 1994 menyorot nostalgia ketika berkempen bersama-sama seniman itu.

“Tidak semua calon wakil rakyat Barisan Nasional (BN) boleh berkempen di kubu kuat parti pembangkang. Inilah yang saya saksikan sendiri bagaimana Tan Sri Jins dengan selamba boleh masuk ke kawasan pembangkang dan ajaibnya kehadirannya diterima baik.

“Di sinilah boleh kita nilai bagaimana aura seseorang seniman itu agak istimewa dan boleh diterima pakai pelbagai golongan,” katanya.

Jins dilahirkan pada 5 November 1935 mula mengalami Alzheimer pada Februari 2011. Memorinya kian terhakis, hinggakan urusan hariannya kini dilakukan isterinya Puan Sri Halijah Abdullah selain dibantu anak Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim.

Mohamad mengunjungi Jins bersama anaknya Yusof; bekas Ketua Penerangan Umno Sri Gading Habeb Mohamad Salleh dan penulis veteran, Daud Ibrahim.

Bagi Mohamad, filem Bukit Kepong arahan Jins dianggap sebagai khazanah berharga buat negara.

“Pengarah kita dulu, mereka ada sesuatu nak sampaikan, terserah kita faham atau tidak? Sejarah hidup depan mata kita di era 1950-an seperti Bukit Kepong selama ini kita cuma mendengar (buat generasi baru) perihal serangan komunis terhadap balai polis itu.

“Melalui garapan Jins, kita diberi gambaran jelas di sebalik serangan itu. Bagi saya mereka ini adalah pemikir yang dapat membentuk budaya bangsa kita melalui karya mereka hinggakan adat istiadat istana kita boleh tahu dek kehalusan jiwa yang mereka ada itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 8:29 AM