ANGGOTA bomba menghantar bekalan makanan.
ANGGOTA bomba menghantar bekalan makanan.
Oleh Alias Abd Rani


Selangau: "Kami mendapat tahu mereka terperangkap sejak tiga hari lalu. Jalan tidak dapat dilalui selepas air naik antara dua hingga tiga meter," kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin ketika menyertai misi menghantar bekalan ke Rumah Panjang Ragai Salang, Rantau Jernang Ulu Sungai Julau Pakan, di sini, semalam.

Misi menghantar bekalan kepada lebih 30 penduduk rumah panjang disertai Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat berlepas dari pangkalan udara Miri pada jam 8 pagi sebelum tiba di Pakan, kira-kira tiga jam kemudian.

Menurut Nicholas, Rumah Panjang Ragai Salang tidak ditenggelami air berikutan dibina atas bukit sebaliknya laluan ke rumah panjang terputus akibat limpahan air Sungai Julau dan Pakan.

"Bekalan mula dihantar selepas penghuni menghubungi Pejabat Daerah Julau memaklumkan mereka terperangkap sejak banjir melanda kawasan ini Ahad lalu. Paras air naik secara mendadak menyebabkan semua kenderaan tidak dapat melaluinya.

"Arus deras menambahkan lagi kesukaran penduduk untuk keluar ke pekan membeli barangan keperluan. Jadi, kami diarahkan menghantar bekalan bersama kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berikutan jalan ke rumah panjang itu masih ditenggelami air," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 6:11 AM