GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norsyazwani Nasri


PUSAT Kuarantin Daerah dicadang diwujudkan di Pakan bagi menempatkan penduduk tempatan yang baru balik dari Semenanjung Malaysia, Sabah, Labuan, luar negara dan pekerja luar pantai dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, ini bagi menjamin bahawa individu terbabit bebas dari jangkitan walaupun sudah menjalani proses kuarantin sebelum tiba di Pakan kerana dikhuatiri dijangkiti ketika dalam perjalanan balik.

"Pusat Kuarantin ini dicadangkan di Dewan Masyarakat Pakan dengan menyediakan ruangan khas. Perkara ini akan diusul ke Jawatankuasa Bencana Peringkat Bahagian untuk dipertimbangkan.

"Sesuatu yang amat membimbangkan berkemungkinan semakin ramai penduduk yang akan balik semasa musim perayaan. Ia bagi mengelakkan wujudnya kluster baharu di rumah panjang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Pegawai Daerah Pakan, Seroji Ludin, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan, Klinik Kesihatan Pakan dan Majlis Daerah Meradong-Julau, hari ini.

Katanya, tahap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pakan sangat baik walaupun dengan pengenalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat oleh pihak kerajaan.

"Pejabat-pejabat kerajaan mula dibuka semula bermula 12 Mei lalu, kerja-kerja sanitasi akan dilaksanakan bomba di semua pejabat kerajaan bermula minggu hadapan.

"Rakyat diingatkan supaya sentiasa patuh kepada setiap arahan yang dikeluarkan dari masa ke semasa dan Ketua Masyarakat sudah diingatkan supaya memaklumkan Tuai Rumah mengenakan kawalan di peringkat rumah panjang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 8:49 PM