Oleh Michelle Gun


Selepas muncul dengan single pertama, Diari April, kumpulan rock alternatif tanah air, Pandora bakal menghasilkan album sulung tidak lama lagi.

Malah, kumpulan dianggotai She (vokalis), Alan (gitaris), Ijoy (basis) dan Anep (dram) itu cukup bertuah apabila Diari April dipilih sebagai lagu tema portal MX3tube.

Berkongsi perkembangan Pandora, Anep berkata, kumpulan itu kini sibuk mengadakan siri jelajah di seluruh negara serta 10 negara Asia untuk memperkenalkan single berkenaan dan MX3.

“Kami akan bertemu peminat di Kuching, Sarawak, Sabah dan negara jiran antaranya Indonesia, Filipina, Laos, Vietnam dan Hong Kong.

“Ini kali pertama kami mengadakan persembahan di luar negara dan sudah tentu berasa teruja,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Single dan Muzik Video Diari April, baru-baru ini.

Selain kolaborasi dengan MX3, Anep berkata, penyanyi Aweera turut mencipta lagu khas buat kumpulan itu.

“Aweera memberitahu dia ada sebuah lagu yang sesuai dengan She. Lagu itu akan dijadikan sebagai single keempat Pandora dan dimuatkan dalam album nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Anep berkata, kumpulan itu sudahpun mendapat beberapa lagu dan rakaman bermula dalam masa terdekat ini.

“Semua lagu yang dimuatkan dalam album ini adalah hasil ciptaan anggota Pandora sendiri.

“Bagaimanapun, kami belum menentukan tarikh pelancaran album ini dan mungkin selepas single ketiga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 8:41 AM