RUANG santai di tingkas dua dilengkapi gaya ringkas.
RUANG santai di tingkas dua dilengkapi gaya ringkas.
SALAH satu bilik air yang menampilkan dekorasi eksklusif.
SALAH satu bilik air yang menampilkan dekorasi eksklusif.
IDEA dekorasi untuk dapur kering.
IDEA dekorasi untuk dapur kering.
GABUNGAN idea dekorasi selari cita rasa pemiliknya.
GABUNGAN idea dekorasi selari cita rasa pemiliknya.
Oleh Hartini Mohd Nawi

Kediaman indah yang tersergam gagah ini begitu sinonim dengan konsep selesa dan ia dizahirkan dalam suasana berbeza serta mengujakan.

Sebaik penulis berpeluang menemu bual pemiliknya, segala cerita dekorasi dan cita rasa dikongsi.

Terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam, kediaman semi-D ini mempunyai daya tarikan luar biasa.

Melantik syarikat rekaan dalaman hebat, Kuchen Idea Sdn Bhd untuk menzahirkan setiap kesesuaian konsep dekorasinya supaya benar-benar sempurna.

Ternyata ahli perniagaan, Mohd Tarmizi Abdullah, 42, dan isterinya, Azizah Hamid, 41, begitu berpuas hati de­ngan sentuhan yang diilhamkan Kuchen Idea itu selain menggabungkan idea sendiri.

Pada mula, dekorasinya berlatarkan konsep moden dengan sebahagian besar kediaman ini menggunakan banyak tingkap dan pintu gelongsor.

Langkah lebih mengujakan apabila dipelawa ke tingkat dua untuk sesi temu bual. Hati siapa yang tidak teruja berada di anjung itu, ditambah dengan sapaan angin sepoi-sepoi bahasa.

Suasana santai di situ lebih bermakna dengan nilai estetika anjung yang dihiasi dengan kemasan kayu cengal Terengganu.

“Mengimbau kembali sejarahnya, semua kayu cengal ini diambil dari kediaman pusaka kami di Terengganu.

“Sebenarnya kayu ini berjaya diselamatkan daripada hangus terbakar dan anjung ini bertujuan mengekalkan keindahan warisan lama untuk dikenang anak kami kelak,” kata Mohd Tarmizi.

Dilengkapi set sofa anyaman rotan, disusun rapi berlantaikan rumput hijau hiasan dengan bumbung yang dibuat daripada kayu cengal siap dengan kerawang indah.

Di anjung itulah dia dan keluarga sering menghabiskan waktu terluang terutama petang dan hujung minggu.

Melangkah turun dari tingkat dua itu, terbentang di depan mata idea dekorasi ruang tamu yang tidak kurang menariknya.

Ruang tamunya amat selesa hasil penataan cahaya dan mainan warna bumi serta kombinasi perabot kemasan kayu dan kulit.

Ruang tamu disempurnakan dengan panel dan kabinet televisyen yang menggunakan kombinasi kemasan kayu.

Bagi melahirkan impak yang kontra, pemilik memilih sofa set kulit berwarna ‘mocha’.

Kombinasi warna ini melahirkan rasa selesa dan sesuai dijadikan tempat berehat bersama keluarga.

“Malah, saya sendiri begitu meminati bunga segar dan mencuba kreativiti dalam seni hiasan bunga.

“Jadi, sudut ruang tamu ini turut dilengkapkan dengan bunga lili putih yang menyemarakkan haruman pada keseluruhan ruang ini,” kata Azizah yang juga anak Melaka ini.

Bahagian tengah seakan-akan lobi kecil memisahkan ruang tamu dan ruang makan dihiasi dengan sepasang kerusi ‘director’ yang disusun menghadap latar air berpancuran di luar sana.

Air berpancuran itu menempatkan kolam ikan koi dan sebahagiannya ditutupi dengan kaca supaya tetamu dapat melihat ikan berkenaan berenang ke ruang rumah. Benar, ia satu pemandangan yang amat menenangkan hati.

“Dinding ruang makan ini dihiasi dengan tiga cermin bulat berbingkai kayu dengan tiga saiz yang berbeza.

“Ruang dapur kering di hadapannya pula menampilkan pemilihan warna dan kemasan menarik inspirasi kami sekeluarga,” kata ibu kepada empat cahaya mata itu.

Beliau yang kini mengikuti pengajian doktor falsafah berkata, di tingkat satu pula ruang keluarga gaya ringkas diketengahkan sebagai ruangan khas anak bermain.

“Selain itu, ada tiga bilik tidur bersebelahan ruang keluarga. Bilik utama dilengkapi dengan idea dekorasi unik dengan kemasan kayu berlamina dan mempunyai anjung privasi.

“Bilik tidur anak lelaki pula lebih menarik dengan kombinasi warna termasuk putih, lengkap dengan meja belajar daripada kemasan berlamina tekstur kayu warna lembut,” kata Azizah.

Sementara bilik anak gadis pula unik dengan katil bertiang empat, almari, meja belajar dan solek. Sebahagian menggunakan perabot kayu.

Bagi melembutkan suasana lilitan kain les digunakan pada bahagian atas katil yang diserikan dengan sepasang lampu meja sisi kuning comel.

Melangkah sekali lagi ke tingkat dua, bahagian paling atas ini bagaikan sebuah ‘penthouse’ yang menempatkan satu bilik tidur tamu, bilik air kolam jakuzi dan ruang keluarga. Keseluruhan tingkat ini seperti terpisah daripada bahagian lain seolah-olah berada di sebuah resort.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2015 @ 5:03 AM