VALENCIA (kiri) mahu Red Devils capai kemenangan bagi melegakan penyokong.
VALENCIA (kiri) mahu Red Devils capai kemenangan bagi melegakan penyokong.
AFP

Manchester, United Kingdom: Pemain sayap Manchester United Antonio Valencia mengingatkan rakan sepasukan sudah tiba masanya untuk mereka berusaha lebih keras bagi memastikan Red Devils mampu menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas musim ini.

Skuad kendalian Louis van Gaal itu menduduki slot terakhir ke Liga Juara-Juara musim depan dan malam ini, mereka bakal melayan kunjungan Leicester, tetapi United sedar mereka hanya satu mata mengatasi pasukan tangga kelima, Arsenal.

Gunners yang melakar empat kemenangan berturut-turut, akan menentang Aston Villa di Stadium Emirates malam esok dan Valencia sedar saingan semakin sengit.

“Saingan masih terbuka dan sengit untuk merebut empat tangga teratas,” kata Valencia. “Kami ketinggalan tujuh mata berbanding pasukan tangga kedua dan ada beberapa pasukan hanya tiga atau empat mata di belakang kami.

“Justeru, kami perlu bekerja keras dalam semua baki perlawanan untuk menamatkan saingan pada kedudukan terbaik.

“Ia musim yang panjang dan kami bangkit agak lewat. Kami perlu catat keputusan positif untuk melegakan penyokong.

“Kami bakal menentang pasukan bagus dalam masa terdekat ini dan mereka juga mencabar kedudukan kami. Jika kami dapat menumpukan perhatian, sudah tentu kami akan berjaya menamatkan musim pada kedudukan empat teratas.”

United gagal melangkah ke saingan Eropah buat kali pertama dalam tempoh 25 tahun apabila sekadar menduduki tempat ketujuh musim lalu iaitu ketika dibimbing David Moyes.

Walaupun memulakan musim ini dengan agak goyah di bawah kendalian van Gaal, United kini berada di kedudukan baik untuk menamatkan penantian layak ke aksi di peringkat benua apabila hanya tewas sekali sepanjang 13 perlawanan.

Valencia percaya pemain yang baru diikat seperti Angel Di Maria, Radamel Falcao dan Marcos Rojo sudah menyesuaikan diri walaupun masing-masing berdepan masalah kecederaan pada awal musim.

“Angel, Rojo dan Falcao pemain hebat. Mereka cepat menyesuaikan diri dan saya rasa masing-masing sudah mula menyukai cara hidup di sini,” kata Valencia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:16 AM