TIGA anggota Flybaits iaitu Fredo (dari kiri), Horace dan Atan.
TIGA anggota Flybaits iaitu Fredo (dari kiri), Horace dan Atan.
Oleh Norhayati Nordin

Cukup dikenali pada era 70-an, nama kumpulan Flybaits pastinya tidak asing dalam kalangan peminat muzik di negara ini.

Apatah lagi, Flybaits begitu popular dengan barisan lagu hebat seperti Kenangan Lalu, Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta, Kasih Berubah, Cahaya Cinta, Senandong Irama dan banyak lagi.

Justeru, bagi peminat setia kumpulan muzik terkenal ini pastinya tertunggu-tunggu persembahan konsert istimewa Flybaits.

Selepas 32 tahun tidak muncul dengan persembahan berskala besar, nantikan Konsert Kenangan Lalu-The Flybaits Reunion pada 3 April ini di D'Marquee, Downtown East, Singapura mulai jam 8 malam.

Bersua tiga daripada lima anggota Flybaits pada sesi fotografi baru-baru ini, nyata mereka begitu teruja. Meskipun, masing-masing sudah berusia, namun masih segak.

Mereka ialah vokalis utamanya Fredo atau nama sebenar Villenguez Alfredo Valentino, Atan Ahmad Osman Hamzah (trumpet, penyanyi) dan Horace Hutapea Wilfred (piano).

Konsert berkenaan juga menampilkan anggota asal Flybaits iaitu Eddie Marzuki (gitar) dan bekas pemain gitar Air Supply, Rex Goh.

Atan berkata, melihatkan pada permintaan peminat membuatkan dia dan anggota Flybaits yang lain akhirnya bersetuju mengadakan konsert istimewa.

"Apatah lagi, sudah 32 tahun kami (Flybaits) tidak bekerjasama dan mengadakan sebarang konsert selepas semua anggota membawa haluan sendiri.

"Bahkan sama ada saya, Fredo dan Horace, kami masing-masing masih lagi aktif bermain muzik, tetapi bergerak secara bersendiri," katanya.

Menurut Atan, meskipun ada tempoh dua bulan untuk membuat persediaan bagi menjayakan konsert itu, Flybaits sudah giat melakukan latihan.

"Bukan itu saja, pemilihan lagu pun sudah kami buat. Jadi, diharapkan semoga peminat Flybaits tidak melepaskan peluang membeli tiket menyaksikan persembahan kami.

"Apapun, memandangkan kapasiti lokasi persembahan konsert kami terhad iaitu mampu memuatkan 1,600 orang, maka peminat perlu mendapatkan tiket segera.

"Selama dua jam beraksi dipentas, kami menyanyikan 20 lagu popular Flybaits yang pastinya menghiburkan peminat.

Dalam pada itu, Fredo berkata, bagi peminat yang membeli tiket VIP, mereka berpeluang bersua dengan kesemua anggota Flybaits untuk beramah mesra termasuk menikmati jamuan ringan disediakan.

Maklumat tiket sila layari www.ticketbooth.com.sg.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:08 AM